Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) R Ramanan mengakui bahawa dia telah menulis surat kepada Jabatan Audit Negara memohon siasatan audit berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.
Ketika dihubungi, R Ramanan mengesahkan bahawa surat berkenaan telah dihantar ke pejabat ketua audit negara.
"Saya telah menulis surat kepada ketua audit negara dan telah dihantar pada 20 April.
"Saya telah meminta jabatan audit negara untuk membuat audit dari tahun 2016 hingga 2022," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Ramanan berjanji akan membuat audit ke atas Mitra secara keseluruhan sebagai sebahagian daripada usaha untuk membersihkan imej institusi tersebut.
Mitra, dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, yang pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic). Penubuhannya bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah di kalangan masyarakat India.
Sedic, kemudiannya dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 tetapi dihidupkan semula sebagai Mitra ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.
Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan dakwaan salah guna peruntukan melibatkan ratusan juta ringgit. Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Mitra diletak semula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Semasa pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta kepada Mitra.
