Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: Annuar kata berminat sertai PAS
Diterbitkan:  May 1, 2023 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Bekas pemimpin Umno Annuar Musa telah menyatakan minat untuk menyertai PAS, kata Setiausaha Agung parti itu Takiyuddin Hassan.

"Annuar ada maklumkan baru-baru ini untuk sertai PAS dan kita memang terima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin Umno untuk sertai PN (Perikatan Nasional)," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini, seperti dipetik Berita Harian.

Takiyuddin berkata kira-kira 20 bekas pemimpin Umno sedang merancang untuk menyertai PAS atau PN.

"Mereka boleh sertai mana-mana parti dalam PN, sama ada PAS atau BERSATU. Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin Umno, termasuk Khairy Jamaluddin," katanya.

Annuar merupakan ahli parlimen Ketereh selama tiga penggal sebelum digugurkan sebagai calon pada PRU15 oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu lagi, Annuar memang dilihat sebagai antara pemimpin Umno yang cenderung untuk meneruskan kerjasama dengan PAS dan Bersatu.

Pada Disember lalu, dia dipecat Umno atas sebab "mencemuh parti" dan berkempen untuk parti lain pada PRU itu.

Sementara itu, Takiyuddin berkata tawaran untuk bertanding sebagai calon PN pada PRN bergantung kepada keadaan semasa.

"Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN, sama ada mereka akan diberi kerusi (pada PRN) adalah proses kedua. Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka akan diberikan kerusi untuk bertanding PRN nanti," katanya.

Mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai PN, dia memaklumkan bekas ketua pemuda Umno itu ada memberi maklum balas.

"Dia memaklumkan akan bersama dengan kita, namun tidak dinyatakan secara spesifik. Dia memaklumkan tidak akan bersama dengan Umno dan PH.

"Justeru, kita jangka dia akan bersama dengan kita," katanya.

Khairy dipecat daripada Umno pada Januari.

Lihat Komen
ADS