Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes dera Bella: Siti Bainun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun

Pengasas Rumah Bonda dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas disabit kesalahan atas dua pertuduhan mengabai dan mendera seorang remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi tadi menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Siti Bainun Ahd Razali dalam kes penderaan ke atas gadis berusia 13 tahun itu.

Hakim perbicaraan Izralizam Sanusi memerintahkan hukuman itu berjalan mulai hari ini. Dia menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, dan penjara 12 tahun bagi pertuduhan kedua.

Hakim memerintahkan Siti Bainun melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam selepas selesai hukuman penjara.

Izralizam turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun.

Sambil Siti Bainun melihat dari kandang tertuduh, Izralizam memutuskan bahawa hukuman mengambil kira hasrat Parlimen untuk menghapuskan masalah sosial penderaan kanak-kanak melalui mahkamah.

Hakim menegaskan bahawa Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta Kanak-kanak 2001 untuk mengukuhkan hukuman maksimum yang boleh dikenakan oleh mahkamah jenayah apabila berjaya disabitkan atas pengabaian dan penderaan kanak-kanak.

"Pindaan itu menunjukkan hasrat Parlimen untuk memastikan kesalahan sedemikian dikenakan hukuman berat jika disabitkan kesalahan oleh mahkamah," katanya.

Izralizam berkata bahawa kanak-kanak terdedah dan tidak berdaya serta bergantung kepada masyarakat untuk dilindungi, justeru hukuman undang-undang yang tegas harus dikenakan kepada pesalah yang menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak.

“Kepentingan awam mesti dipertimbangkan dalam kes ini. Kecederaan Bella serius dan meninggalkan parut pada dirinya dan juga fizikal.

“Apa yang dilakukan oleh tertuduh terhadap Bella adalah kejam dan wajar dikenakan hukuman berat bagi mengingatkan tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan ini tidak boleh dilakukan sama sekali.

“Tertuduh merupakan seorang aktivis yang terlibat dalam kebajikan kanak-kanak. Dia sepatutnya tahu lebih baik dan bukannya melanggar amanah yang diberikan kepadanya,” kata hakim sambil melihat Siti Bainun dari kandang tertuduh.

Penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak

Selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan, Izralizam petang ini menafikan permohonan peguam Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu rayuan mereka ke Mahkamah Tinggi. Notis rayuan difailkan selepas hukuman dijatuhkan.

Tertuduh berusia 31 tahun itu dijangka diiringi anggota polis ke penjara tengah hari ini.

Semasa membacakan penghakimannya sebelum ini apabila mendapati tertuduh bersalah, Izralizam memutuskan bahawa keterangan Siti Bainun dan saksi pembelaan lain hanyalah hearsay (khabar angin), terutamanya berhubung dakwaan bahawa kecederaan Bella berpunca terkena air panas dan bukannya didera.

Hakim menyatakan bahawa bukti di mahkamah menunjukkan bahawa kecederaan pada Bella adalah lebih lama berbanding dakwaan kejadian terkena air panas pada Mei 2021.

"Ini menunjukkan bahawa kejadian terkena air panas itu tidak pernah berlaku," kata hakim itu sambil menambah keterangan lisan yang diberikan oleh tertuduh berusia 31 tahun dan tujuh saksi pembelaan lain tidak boleh dipercayai atau diterima oleh mahkamah perbicaraan.

Semasa mengemukakan hukuman, peguam bela Siti Bainun, Farhan Maaruf merayu hukuman ringan tanpa penjara kerana tertuduh dikatakan telah insaf dengan kejadian itu.

Peguam itu menambah bahawa sekiranya Siti Bainun dijatuhkan hukuman penjara, dia merayu untuk tempoh tahanan yang singkat kerana "kemudahan penjara semasa tidak dapat menampung seseorang seperti fizikalnya (Siti Bainun).

“Ini disebabkan saiznya yang besar dan (masalah) kesihatan. Hukuman penjara yang panjang akan menjejaskan kesihatan tertuduh,” kata Farhan.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya (DPP) Zahida Zakaria memohon hukuman untuk pencegahan (deterrant) kerana Siti Bainun mengkhianati amanah terhadap Bella dan masyarakat untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengasuh kanak-kanak.

DPP menegaskan bahawa kecederaan Bella adalah serius dan meliputi sebahagian besar badannya.

"Parut akibat kecederaan adalah kekal dan akan kekal bersama Bella sepanjang hayatnya," kata Zahida.

Izralizam kemudiannya menangguhkan prosiding buat sementara waktu untuk memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 22 saksi pada peringkat pendakwaan perbicaraan yang bermula 30 Mac tahun lalu.

Antaranya ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, penolong pengurus sebuah syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Pada 24 Nov tahun lepas, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun pada akhir kes pendakwaan.

Siti Bainun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS