Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lesen memandu kini boleh diperbaharui untuk 10 tahun

Warganegara Malaysia boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi tempoh maksimum 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini mulai 8 Mei ini, umum Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.

"Orang ramai dibenarkan memperbaharui LMM antara satu hingga 10 tahun tertakluk kepada had maksimum 10 tahun.

"Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas atau permit jangka masa panjang atau Kad MyKAS yang terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Loke berkata mereka yang memperbaharui LMM sehingga 10 tahun sekali gus akan dikenakan bayaran fi istimewa iaitu RM270 iaitu bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja, berbanding fi kadar semasa RM30 bagi tempoh pembaharuan setahun.

Loke dalam masa yang sama berkata warganegara Malaysia yang LMM telah tamat tempoh sah laku memperbaharui bermula 1 Jan 2018 dan ke hadapan, diberi kebenaran khas untuk memperbaharui lesen mereka tanpa perlu menduduki semula ujian.

Di bawah dasar semasa, Loke berkata LMM yang telah tamat tempoh lebih tiga tahun, perlu mengambil semula ujian.

"Kebenaran khas ini hanya berkuat kuasa sehingga 31 Dis 2023. Peraturan sedia ada akan dikuatkuasakan semula pada 1 Jan 2024," katanya.

Loke berkata kebenaran khas itu dapat memberikan penjimatan sehingga RM1,000 kepada pemegang LMM kerana tidak perlu mengeluarkan belanja untuk menduduki semula kelas dan ujian memandu.

"Mereka boleh memperbaharui lesen mereka dengan kadar yang sama iaitu RM30 bagi tempoh pembaharuan setahun," katanya.

Beliau berkata kedua-dua inisiatif itu termasuk kebenaran khas tersebut boleh dinikmati orang ramai bermula Isnin depan (8 Mei) dengan berurusan di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

"Kedua-dua inisiatif dan kebenaran khas ini hanya boleh dinikmati oleh pemegang LMM yang bebas daripada sebarang sekatan urus niaga JPJ dan tidak disenarai hitam oleh Polis Diraja Malaysia serta bebas daripada sebarang penggantungan akibat suatu hukuman atau Perintah Mahkamah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS