Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memberi fokus kepada usaha memadam kebakaran tapak pelupusan sampah di Beris Lalang, di Beris Lalang bagi memastikan api tidak terus merebak.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata kawasan itu yang mula terbakar sejak 25 April lepas dipercayai berlaku akibat cuaca panas melampau, telah dibahagikan kepada dua sektor bagi melancarkan proses pemadaman.
"Kerja-kerja pemadaman sedang giat dilaksanakan kerana kebakaran tapak pelupusan sampah seluas 4.04 hektar (10 ekar) ini berisiko memberi kesan pencemaran udara yang lebih besar jika tidak segera dihentikan.
"Jadi dengan kekuatan seramai 50 anggota yang bertugas secara 24 jam, kita mengambil pendekatan mengalirkan lebih banyak air dari kolam tadahan berdekatan ke bahagian bawah timbunan sampah untuk melembapkan kawasan tersebut," katanya dalam satu sidang media, di Bachok hari ini.
Zainal berkata proses pemadaman mengambil masa yang agak lama berikutan kekangan sumber air yang jauh dan terhad selain dikelilingi kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.
Katanya, setakat ini pihaknya mendapatkan sumber air dari kolam tadahan yang terletak kira-kira 1,000 kaki dari kawasan kebakaran dan tidak pasti jika bekalan air berkenaan mencukupi untuk menghentikan kebakaran.
"Dalam keadaan cuaca panas ketika ini, sumber air terbuka di kawasan berdekatan juga banyak yang kering untuk dipam ke kawasan kebakaran," katanya.
Justeru katanya, jika keadaan berlarutan dan usaha pemadaman tidak berjaya, JBPM Kelantan mungkin akan mendapatkan bantuan anggota bomba dari negeri lain selain kerjasama daripada agensi lain di negeri ini.
Dalam pada itu, Zainal berkata orang awam dinasihatkan tidak melakukan pembakaran secara terbuka di kawasan berdekatan bagi mengelak kebakaran lain berlaku.
Untuk rekod, sejumlah 575 kes kebakaran terbuka dicatatkan berlaku setakat April tahun ini membabitkan kawasan tanah gambut, ladang, semak, lalang dan kawasan pelupusan sampah.
- Bernama
