Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar, Rafizi perlu jelaskan kepada rakyat kenaikan OPR - Hassan
Diterbitkan:  May 6, 2023 11:21 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus seperti diumumkan Bank Negara (BNM) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata ini kerana dia tidak mahu rakyat yang tidak berpuas hati "menempelak" kerajaan berhubung perkara itu dalam pilihan raya di enam negeri akan datang.

"Bank Negara Malaysia ada alasannya kenapa Kadar OPR itu dinaikkan. Kita bersangka baik kepada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPN) Bank Negara yang membuat keputusan menaikkan kadar OPR itu. BNM mungkin melihat kepentingan ekonomi makro Malaysia bagi jangka panjang.

"Tetapi Bank Negara juga perlu bergerak seiring dengan kerajaan sekarang pimpinan Anwar Ibrahim yang sedang berusaha untuk membantu ekonomi majoriti rakyat yang sedang bergelut untuk hidup berdepan dengan krisis kos sara hidup yang parah," katanya dalam kenyataan.

Hassan berkata golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan rendah (B4), yang merupakan 80 peratus daripada penduduk negara ini paling terkesan dengan kenaikan OPR.

"Jadi saya tidak mahu rakyat jelata sekarang yang di enam negeri di Semenanjung akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak Kerajaan Perpaduan dan kerajaan Madani sekarang dengan pertanyaan sinikal mereka iaitu adakah OPR ini boleh ditafsirkan sebagai Operasi Peras Rakyat?

"Saya berharap tidaklah sampai begitu. Jadi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Perdana Menteri Dauk Seri Anwar Ibrahim jika terbaca tulisan ini, tolonglah jelaskan,” tulisnya.

BNM baru-baru ini menaikkan kadar OPR kepada 3.00 peratus, iaitu kadar faedah yang sama sebelum pandemik Covid-19.

OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan di kalangan bank untuk pinjaman antara bank dan ditetapkan oleh BNM.

Ia antara alat digunakan bank pusat untuk menggubal dasar kewangan bagi mengawal bekalan wang negara, selain mengawal inflasi yang disebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Lihat Komen
ADS