Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin berkata dia tidak pernah bermimpi mahu pun mengigau tentang memiliki akuan berkanun (SD) oleh ahli parlimen yang cukup bagi membentuk kerajaan baru.

Sebaliknya, Hamzah yang juga ketua pembangkang berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang sebenarnya mengigau.

Hamzah mendakwa Anwar mengigau kerana takut dengan kedudukannya sebagai perdana menteri mungkin akan diambil alih.

“Semalam saya dengar ada seorang bagitau bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau (Anwar) saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak beritahu yang hang (kamu) mengigau tu pasai (sebab) apa, saya tak cakap apa pun.

“Sejak dia jadi perdana menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen bagitau dia hang la (kamu sekarang) ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, hari ini.

Semalam, Anwar mencabar pembangkang supaya membawa akuan SD yang dikatakan ke parlimen.

Ini selepas terdapat cakap-cakap ada gerakan dicetus PN untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH dan BN.

“Tidak mengapalah, kalau dia (Hamzah) ada tunggu pada persidangan Parlimen bawalah usul SD tiada masalah. Ini setiap minggu dia jadi macam mengigau, sebelum hari raya, sebelum puasa, selepas hari raya, sebelum hari raya haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina,” kata Anwar.

Selain Hamzah, menurut Anwar, Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga “mengigau” dengan ramalannya bahawa kerajaan akan tumbang tidak lama lagi.

Menjelas lanjut, Hamzah berkata, disebabkan Anwar yang memintanya untuk bermimpi dan mengigau membentuk kerajaan, maka dia mengajak semua pihak untuk berdoa agar perkara itu menjadi kenyataan.

“Saya selama ini relax (tenang) sahaja, tak pikiaq (fikir) apa pun tapi la (sekarang) ni dia suruh saya mimpi, cita-cita. Kita semua berdoa semoga apa yang dia katakan bahawa kita ada nombor, angka atau jumlah itu akan tercapai untuk kita ambil alih (kerajaan) daripada dia, padan muka dia.

“Kita doa lah sama-sama perjuangan kita dirahmati Allah kerana kita tahu hari ini rakyat tertunggu-tunggu masa depan lebih baik. Kalau dulu depa kata (kita) kerajaan yang kurang baik, hari ini nak maklum kerajaan yang ada lebih teruk daripada mana-mana kerajaan yang sebelum ini,” katanya.

Terbuka sebarang kemungkinan

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang medianya berkata parti itu tiada kaitan dengan dakwaan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar itu..

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata parti itu terbuka kepada sebarang kemungkinan, selagi ia berada dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan dan proses demokrasi.

“Selagi pergerakan itu dibenarkan undang-undang dalam sistem negara kita, kita anggap sebagai sah dari aspek Perlembagaan. Kalau sekiranya ada gerakan, tak ada masalah dan tak wajar ada isu,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan, selagi ia dalam rangka kerja yang dibenarkan dalam sistem pilihan raya dan demokrasi serta tidak bercanggah dengan undang-undang, PAS terbuka untuk sebarang kemungkinan.

“Saya pun tidak tahu siapa yang mulakan dengan mainan nombor (SD). Kami tiada kaitan. Lagipun isu SD ini tidak melibatkan ia perlu dibawa kepada perdana menteri,” katanya.

Manakala mengulas mengenai kempen ‘proklamasi Melayu’ yang digerakkan Dr Mahathir Mohamad - yang ditandatangani PAS -Tuan Ibrahim menafikan ia bertujuan memancing undi.

Sebaliknya, menurut Tuan Ibrahim rancangan untuk melancarkan ‘proklamasi Melayu’ sudah dirangka sejak awal Mac lagi.

“Kita rangka lebih awal sebelum ada apa-apa berita akan berlaku PRN lagi. Sepatutnya dilancar pada Mac, oleh itu ia tidak ada kaitan dengan PRN.

“Oleh kerana ketika itu semua premis yang dimohon dibatalkan di saat akhir sebanyak empat kali, ia menimbulkan keadaan untuk kita putuskan operasi gagasan ini dilakukan melalui pertubuhan atau individu yang menandatangani dan menyokong proklamasi tersebut,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS