Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang muflis boleh mohon, dapat pinjaman bercagar KWSP - Wan Saiful
Diterbitkan:  May 8, 2023 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Putrajaya digesa memberi penjelasan bagaimana individu yang berstatus muflis dibenarkan membuat pinjaman di bawah skim cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau i-Cagar FSA2 KWSP.

Dalam kenyataan malam tadi, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata dia telah bertemu individu dalam kategori tersebut baru-baru ini.

Berdasarkan tangkap layar aplikasi perbankan yang ditunjukkan Wan Saiful, beberapa peminjam yang menggunakan skim kemudahan sokongan Akaun 2 KWSP (FSA2) meminjam melebihi had maksimum yang dibenarkan.

Wan Saiful mendakwa peminjam terbabit juga tidak dibenarkan mengakses pinjaman mereka sehingga mereka mengemukakan dokumen pelepasan daripada Jabatan Insolvensi.

Kegagalan itu didakwanya akan menyebabkan pinjaman dibatalkan walaupun dana telah didepositkan.

"Bagaimana boleh berlaku situasi yang pinjaman diluluskan dan dana disimpan dalam akaun peribadi mereka, tetapi peminjam tidak dibenarkan mengakses dana itu?

"Jika mereka tidak layak (buat pinjaman) kerana bankrap, kenapa pinjaman itu diluluskan? Bukan sahaja pinjaman itu diluluskan, dana telah dimasukkan ke dalam akaun mereka," dakwa bekas ketua penerangan Bersatu itu.

Putrajaya memperkenalkan FSA2 untuk membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Hanya dua bank yang menyediakan FSA2 iaitu MBSB dan Bank Simpanan Nasional.

Peminjam boleh membuat pinjaman sehingga RM50,000 berdasarkan baki Akaun 2 KWSP mereka dan memanjangkan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Faedah akan dikenakan antara 4 peratus hingga 5 peratus, jauh lebih rendah daripada kadar konvensional (antara 8 peratus hingga 15 peratus).

Wan Saiful mendakwa kebenaran kepada individu muflis meminjam wang menggunakan KWSP sebagai cagaran hanya akan menambah masalah kewangan mereka.

Memetik contoh individu yang meminjam RM18,000 pada kadar faedah 4.5 peratus dan tempoh bayaran balik selama sembilan tahun, Wan Saiful berkata individu terbabit perlu membayar hampir dua kali ganda menjelang akhir tempoh bayaran balik.

“Saya menggesa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim menjelaskan mengapa kerajaannya memperkenalkan dasar huru-hara yang akan menyebabkan orang ramai menderita.

"Tidak pernah ada perdana menteri di muka bumi ini yang mencadangkan bahawa penyelesaian bagi mereka yang bankrap sebab berhutang ialah dengan menambah lagi hutang," kata Wan Saiful.

Justeru, dia menggesa kerajaan memansuhkan skim FSA2 dan menerima pakai saranannya supaya pengeluaran KWSP yang disasarkan dibenarkan oleh mereka yang memerlukan.

Kerajaan sebelum ini menolak cadangan agar pengeluaran KWSP sekali lagi dibenarkan selepas diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu sebagai cara menangani kemerosotan pendapatan semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Lihat Komen
ADS