Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi kilang Lynas dilanjut lepas ambil kira rantaian bekalan nadir bumi global
Diterbitkan:  May 8, 2023 4:38 PM
Dikemaskini: May 9, 2023 12:34 PM

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Chang Lih Kang berkata pihaknya memutuskan menolak rayuan pengguguran empat syarat lesen dikemukakan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Namun begitu katanya, mengambil kira kesan keputusan ini terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, kementerian bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang cracking and leaching (pemecahan dan larut lesap/C&L) tersebut sehingga 31 Disember 2023.

“Oleh yang demikian, berkuat kuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi ke Malaysia.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kepentingan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam. Berdasarkan Seksyen 32(5), Akta Perlesenan Tenaga Atom, keputusan yang dibuat oleh menteri adalah muktamad,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada Februari lalu, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) bersetuju memperbaharui lesen operasi Lynas berkuat kuasa 3 Mac tahun ini untuk tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat yang ketat.

Salah satu syarat ini adalah untuk menempatkan semula kemudahan C&L di Gebeng, Kuantan - yang menghasilkan sisa Penjernihan Lesap Air (WLP) radioaktif - keluar dari Malaysia sebelum Julai 2023.

Syarat lain yang mesti dipatuhi oleh Lynas termasuk memulakan proses membangunkan kemudahan pelupusan kekal, mengemukakan pelan pembangunan kerja dan melaporkan statusnya, memastikan loji retak dan larut lesap mereka di luar Malaysia beroperasi menjelang Julai 2023 dan mengekalkan deposit kewangan pematuhan.

Lynas dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia akan merayu sekali lagi supaya syarat itu dihapuskan.

"Lynas telah membuat pelaburan di Malaysia dan akan mendapatkan semakan melalui proses ini berkenaan dengan syarat untuk memastikan Lynas dilayan secara adil dan saksama sebagai pelabur asing langsung dan sebagai majikan dan penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Sementara itu Chang berkata kerajaan memahami kepentingan industri nadir bumi dan komited untuk memastikan sebarang urusan perniagaan yang dijalankan berkaitan industri ini tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Justeru, tegasnya, keputusan ini diambil selepas penilaian yang teliti, berlandaskan prinsip kelestarian, pembangunan dan keselamatan.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan industri nadir bumi di Malaysia berkembang secara bertanggungjawab dan mematuhi peraturan serta piawaian yang ditetapkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS