Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan dan tanggungjawabnya dalam negara ini.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelarian dan Pencari Suaka hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Zahid berkata kerajaan berhasrat memperkukuh peranannya dalam menguruskan pelarian dan pencari suaka.
Ini akan dilakukan dengan menubuhkan jawatankuasa dan pasukan petugas, melibatkan agensi kerajaan untuk menentukan status pelarian, memperkemas penguatkuasaan undang-undang ke atas pelarian dan pencari suaka, dan menyediakan sokongan sosial kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan.
"Perincian mengenai pelaksanaan penambahbaikan ini akan dimaklumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
"Peranan dan penglibatan entiti kerajaan, UNHCR dan NGO di dalam negara dan luar negara perlu diselaras dan diperkemas dalam isu membabitkan pengurusan pelarian dan pemohon suaka ini.
"Penekanan akan diberikan terhadap mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, dasar-dasar membabitkan kebajikan dan sosial di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Timbalan perdana menteri juga menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang bersekongkol dengan ejen pemerdagangan manusia untuk menyeludup pelarian dan pencari suaka ke negara ini.
Pada masa ini terdapat 185,760 pelarian merupakan pemegang kad UNHCR di Malaysia.
Daripada angka ini, 83 peratus (160332) adalah dari Myanmar, dengan 107433 adalah Rohingya.
Zahid juga berkata bahawa warganegara pelarian lain ialah Pakistan (7,109), Yaman (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161).
