Kerajaan bersedia untuk mengharamkan penggunaan beg plastik merentasi semua sektor perniagaan di seluruh negara menjelang 2025, menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dia berkata berikutan pelaksanaan kempen Tanpa Beg Plastik secara berperingkat di semua premis tetap dari 2022 hingga 2025, kempen itu akan dilaksanakan secara berperingkat di premis perniagaan lain.
Menurut laporan Bernama, Nik Nazmi berkata, kempen yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri itu merupakan salah satu rancangan jangka panjang dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.
Antara negeri yang telah menganjurkan kempen tersebut ialah Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.
Pada masa ini, larangan itu terpakai kepada kedai fizikal - seperti pasar raya, pasar mini dan kedai runcit - dan ini tidak lama lagi akan diperluaskan ke gerai tepi jalan, kata Nik Nazmi.
Dalam ucapannya pada satu majlis di Klang, Nik Nazmi mengucapkan tahniah kepada pengurusan 99 Speed Mart kerana mengambil pendirian untuk tidak membekalkan beg plastik kepada pengguna di semua cawangannya dan memperkenalkan beg boleh guna semula Madani berharga RM2 yang boleh ditukar sekiranya rosak.
“Cuma cara pelaksanaan dan (kadar caj yang dikenakan serta kekerapan serahan kutipan) kita sudah berikan ruang pada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka (kerajaan negeri dan PBT) ada konteks tersendiri.
“Pendekatan kita bukan hanya denda (jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025) sebaliknya, ada insentif dalam menggalakkan peralihan berkenaan,” katanya sambil menambah butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
