Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM dedah ada agensi kerajaan abai lebih 500 laporan salah laku
Diterbitkan:  May 9, 2023 6:23 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mendedahkan bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan.

Dalam temu bual dengan NST, Azam berkata sudah menjadi amalan lazim ketua jabatan dimaklumkan dahulu tentang kesalahan orang bawahan mereka.

Azam juga mendedahkan bahawa beberapa laporan itu bertarikh lebih sedekad lalu.

Berdasarkan statistik, daripada 533 laporan, sebahagian besar (125) membabitkan jabatan-jabatan polis manakala di tempat kedua adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

Laporan mengenai salah laku itu juga melibatkan mahkamah, Pejabat Perdana Menteri, pihak berkuasa agama, hospital dan jabatan kesihatan, serta universiti.

Bagaimanapun, Azam berkata jumlah besar laporan berhubung polis boleh difahami memandangkan jumlah anggota penguatkuasanya yang besar.

Menurut ketua pesuruhjaya itu, sejak agensi antirasuah ditubuhkan pada 1967, lebih 10,000 laporan dikemukakan kepada beberapa ketua jabatan kerajaan.

"Siasatan kami terlebih dahulu tertumpu kepada rasuah.

“Jika kami menemui unsur-unsur salah laku, menjadi kewajipan kami untuk melaporkannya kepada ketua jabatan.

“Mereka kemudian akan melaporkan semula kepada kami, mengesahkan bahawa mereka menerima laporan itu," katanya.

Susulan itu, Azam menjelaskan bahawa jawatankuasa terdiri daripada beberapa ketua jabatan terpilih akan dibentuk dan ditugaskan untuk mengendalikan perkara tersebut.

"Jawatankuasa ini yang akan meneliti laporan kami. Mereka akan memutuskan jika laporan kami mempunyai merit.

“Jika tidak, mereka boleh menutup sahaja kes itu kerana ia bukan satu jenayah.

“Kes jenayah akan dibawa ke mahkamah, tetapi kes salah laku akan disemak oleh jawatankuasa,” tambahnya.

Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa ketua jabatan boleh memutuskan tindakan yang akan dikenakan terhadap kakitangan yang ingkar, Azam berkata pekeliling mengenai perkara tersebut telah dihantar.

Bagaimanapun, katanya, ramai ketua jabatan yang memilih untuk mengabaikan laporan tersebut.

"Pekeliling itu memang ada, kalau tidak silap, sejak saya menyertai perkhidmatan itu pada 1984. Sudah 39 tahun dan saya akan bersara tidak lama lagi.

"Ketua jabatan tidak seharusnya lupakan pekeliling itu. Ramai yang hanya mengabaikannya (laporan SPRM), dan kami menghantar surat untuk mengingatkan mereka.

"Mereka kena ambil tindakan kerana ia adalah pekeliling ketua setiausaha, bukan pekeliling saya. Kita ikut arahan sahaja," katanya lagi.

Anthony Loke, Menteri Pengangkutan

Mengulas pendedahan Azam itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya, yang menyelia Jabatan Pengangkutan Jalan, akan memberikan kerjasama penuh.

Katanya, pihaknya akan mengatur temu janji untuk berjumpa dengan ketua pesuruhjaya itu.

“Saya tiada maklumat sebab ini laporan media, pagi ini.

“Namun sebab dia (Azam) ada sebut tentang agensi dan jabatan di bawah MOT, saya akan pohon janji temu dengan KP SPRM untuk bertemu beliau dan dapatkan laporan lanjut,” katanya.

Loke berkata pertemuan dengan Azam adalah langkah awal sebelum sebarang tindakan diambil bagi berlaku adil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang mungkin terlibat, selain tidak menuding jari serta-merta tanpa bukti kukuh.

Langkah lain yang akan dilaksanakan antaranya ialah mendapatkan senarai nama kakitangan dan kes melibatkan mereka, katanya.

“Saya juga telah mengarahkan semua peringkat kementerian saya daripada ketua setiausaha hingga ketua jabatan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sebarang siasatan oleh SPRM,” katanya.

Loke juga berikrar bahawa tindakan segera akan diambil jika terdapat bukti yang mencukupi tentang salah laku berkenaan.

Saifuddin Nasution, Menteri Dalam Negeri

Bernama pula memetik Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata bahawa kementeriannya akan meneliti pendedahan SPRM tersebut.

"Kami akan teliti laporan berkenaan dan lihat penambahbaikan yang boleh dijalankan, kita tidak harus mempunyai sindrom penafian terhadap laporan itu dan ia juga tidak harus merentap moral PDRM,” katanya.

Saifuddin berkata masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan keselamatan terbesar negara itu, dan PDRM harus menjadi institusi yang diyakini rakyat.

Lihat Komen
ADS