Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Awan saran k'jaan laksana dasar 'diskriminasi positif' demi wanita
Diterbitkan:  May 11, 2023 2:52 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Nasional meminta agar pembabitan wanita ditingkatkan dalam pelbagai bidang di negara ini, termasuk politik dan pentadbiran.

Naib Ketua Awan Anfaal Saari berkata beberapa langkah bersifat "diskiminasi positif" wajar diambil pihak yang berkenaan untuk membolehkan matlamat tersebut dicapai.

Katanya parti yang mempunyai barisan pimpinan wanita yang dipercayai serta bilangan golongan terbabit yang lebih ramai akan memberi kesan besar di peti undi.

Mengambil contoh Umno dan PAS, Anfaal berkata kewujudan sayap wanita dalam sesebuah parti juga akan meraih lebih banyak undi dalam pilihan raya.

"Awan berpendapat semua pihak harus berusaha meningkatkan perwakilan wanita dalam ruang awam, khususnya dalam politik dan pentadbiran awam.

"Untuk itu, saya percaya beberapa langkah penting bersifat diskriminasi positif harus dilaksana segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anfaal ada enam langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan pembabitan wanita dalam pelbagai bidang di negara ini.

Pertama katanya semua parti politik dicadangkan untuk meletakkan sekurang-kurangkua 30 peratus wanita sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

PH pula, tambah Anfaal, boleh menjadi pemangkin kepada langkah meminda dasar perkaderan dan pengurusan pembangunan bakat (talent pipeline) agar ada 30 peratus - atau lebih - wanita diletakkan sebagai calon dalam PRU ke-16.

"Ketiga, parti-parti politik wajar memperjuangkan peningkatan komposisi anggota exco atau kabinet negeri dan persekutuan agar mencapai nisbah sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang hujung penggal parlimen sekarang.

"Keempat, kerajaan negeri di bawah PH boleh meminda dasar pengurusan sumber manusia untuk melatih dan mengangkat sekurang-kurangnya 30 peratus wanita ke jawatan kanan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan," katanya.

Selain itu dia turut berpendapat Putrajaya boleh meletakkan wanita di kedudukan sebagai menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha atau ketua perkhidmatan awam.

Kerajaan Persekutuan juga kata Anfaal boleh memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) segera melaksanakan dasar menetapkan 30 peratus anggota lembaga pengarahnya terdiri daripada wanita.

Akhir sekali, kata Anfaal badan-badan kawal selia persekutuan terutamanya Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti boleh memperkenalkan insentif sesuai untuk meningkatkan komposisi lembaga pengarah syarikat terbesar di Malaysia menjelang akhir 2027.

"Saya percaya penglibatan kaum wanita yang lebih tinggi di Malaysia akan dapat menyumbang kepada proses pembinaan negara yang lebih adil, aman dan sentosa, makmur ekonominya, serta prihatin terhadap wanita, kanak-kanak, warga tua serta kumpulan minoriti dalam masyarakat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS