Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM perlu jelaskan keputusan sambung khidmat Azam Baki - NGO antirasuah

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim perlu menjelaskan sebab di sebalik keputusan menyambung khidmat ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, kata peguam Cynthia Gabriel.

Pengasas Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) itu berkata, keputusan melanjutkan khidmat Azam Baki menyukarkan agenda untuk memerangi rasuah.

“Lanjutan ini bukanlah satu langkah yang baik, malah ia menjadi halangan dalam perjuangan Anwar menentang rasuah.

“Dia perlu menjelaskan keputusannya di sini. Kita pastinya boleh melaksanakan proses yang telus dan bertanggungjawab dalam pelantikan jawatan melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” katanya kepada Malaysiakini.

Gabriel yang menganggotai Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPG) mengenai Pencegahan Rasuah dan Cukai Bertanggungjawab, berkata, dia mahu segera berjumpa dengan perdana menteri berhubung keputusan itu.

Pada Rabu lalu, ketua setiausaha negara mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam dilanjut setahun lagi berkuatkuasa hari ini.

Azam menyambut hari lahirnya yang ke-60 hari ini, yang merupakan umur persaraan wajib.

Dia dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 2020 oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan selepas berlaku pertukaran kerajaan pada tahun itu.

Di bawah Akta SPRM 2009, seseorang ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat oleh perdana menteri.

Azam mendapat kritikan selepas terlibat dalam skandal pemilikan saham yang menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya dengan menggunakan namanya, sehingga turut mengheret Suruhanjaya Sekuriti dalam isu berkenaan.

Sementara itu, pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan semula Azam sebagai "sangat mengejutkan".

“Nama ketua pesuruhjaya itu tercemar pada tahun lepas apabila dakwaan melibatkan pemerolehan saham miliknya didedahkan. Beliau kemudiannya dikekalkan sebagai ketua pesuruhjaya.

“Oleh itu dia telah mencemarkan nama baik institusi yang dipimpinnya,” katanya.

Gomez berkata, hanya pada Mac lalu Anwar mengatakan dia tidak mempunyai sebarang bantahan untuk memindahkan kuasa memilih ketua pesuruhjaya SPRM yang baru kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC).

Gomez berkata untuk tidak membenarkan situasi yang sama berlaku, reformasi jangka panjang perlu dilaksanakan.

Dia menggesa Akta SPRM dikaji semula bagi membolehkan ketua pesuruhjayanya dipilih oleh lembaga penasihat.

Menurutnya, panel seperti PSSC - yang ahlinya dipilih oleh perdana menteri - juga harus benar-benar bebas.

“Cadangan saya ialah ketua pesuruhjaya SPRM perlu dilantik oleh lembaga penasihat, yang dipilih secara bebas. Dalam kedua-dua kes, Pejabat Perdana Menteri tidak sepatutnya bersuara dalam perkara ini.

“Kedua-dua lembaga penasihat dan ketua pesuruhjaya SPRM boleh bertanggungjawab kepada PSSC - yang sepatutnya diketuai oleh ahli pembangkang.

“Pembaharuan dalaman sebegini bermakna wujudnya hubungan jarak dekat antara SPRM dan cabang eksekutif kerajaan,” katanya.

Gomez berkata ini adalah hal yang boleh dilaksanakan dalam sidang parlimen akan datang.

Azam memainkan peranan penting dalam siasatan SPRM berkaitan kes 1MDB dan mengetuai siasatan berhubung hal ehwal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Selaku ketua pesuruhjaya SPRM, dia juga menyelia siasatan terhadap pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan pemimpin Bersatu.

SPRM sebelum ini juga menyiasat hakim perbicaraan kes SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan berlaku konflik kepentingan dan salah laku.

Menjelang pilihan raya umum lalu, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengancam untuk "mencari" Azam jika Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, selepas PH menjadi kerajaan Rafizi menafikan dia mengugut ketua pesuruhajaya SPRM itu.

Lihat Komen
ADS