Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalimah Allah: Keputusan kes Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak - PM
Diterbitkan:  May 16, 2023 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan seorang penganut Kristian hanya terpakai di Sarawak.

“Ini khusus dalam kes Sarawak, Sarawak tak terikat dengan keputusan-keputusan negeri (lain).

“(Keputusan ini) tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang, Selangor, ini khusus untuk kes Sarawak,” katanya yang juga presiden PKR.

Anwar berkata demikian ketika diminta keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes wanita itu yang bernama Jill Ireland itu.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Lihat Komen
ADS