Pendaki gunung veteran T Ravichandran berjaya mencipta rekod baru sebagai rakyat Malaysia pertama menakluk Gunung Everest sebanyak tiga kali tetapi terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami radang dingin (frostbite) dalam percubaannya untuk menawan Gunung Lhotse.
Ravichandran adalah sebahagian daripada Ekspedisi Sukan Everest-Lhotse Himalaya 2023 dan menyasarkan untuk menakluki kedua-dua gunung yang melebihi ketinggian 8,000m dalam masa 24 jam.
Isterinya Leela Ramamurthy berkata, Ravichandran telah dibawa ke hospital akibat radang dingin pada jarinya ketika dia hanya 200m dari puncak Gunung Lhotse, puncak keempat tertinggi di dunia pada 8,516m.
"Namun, dia berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi di dunia, Everest berketinggian 8,848 meter pada 17 Mei 2023 jam 12 tengah hari (waktu Nepal), untuk kali yang ke-4,” katanya dipetik Utusan hari ini .
Dia berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan dan menyokong agar suaminya sembuh.
Leela turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia ketika dalam misi mendaki Gunung Everest.
Ravichandran dijangka pulang ke Malaysia esok.
Malaysiakini sebelum ini menemu bual Ravichandran mengenai percubaannya untuk menakluk dua puncak tertinggi di dunia dalam tempoh 24 jam.
“Saya meninggalkan semua ketakutan saya dan saya bergerak ke hadapan.
“Tahun lalu, saya menawan Everest dan Gunung K2 dalam masa 72 hari. Tahun ini saya akan cuba habiskan dengan lebih pantas,” katanya.
Ravichandran telah kehilangan jari semasa pendakian pertamanya di Gunung Everest pada tahun 2006.
Seorang lagi rakyat Malaysia turut menakluki Gunung Everest pada 18 Mei - Muhammad Hawari Hashim.
Lelaki berusia 33 tahun yang cacat pendengaran itu dilaporkan berjaya mencapai puncak Everest pada jam 3.30 petang (waktu Nepal) pada Khamis.
