Masih ramai dalam perokok yang tidak mengendahkan larangan merokok terutama di premis makanan, hospital dan hentian pengangkutan awam, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Harlina Abdul Rashid.
Katanya sebanyak 96 notis kesalahan dikeluarkan dalam tempoh 8 jam operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) di sekitar negeri itu semalam.
“Ia termasuk dalam kawasan hospital atau klinik, premis makanan dan pusat beli-belah, selain kesalahan terhadap pemilik yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis.
"JKNNS tengok tadi di tempat makan, rakyat ada kesedaran tetapi diharap dengan penguatkuasaan ini mereka akan lebih peka.
“Sebenarnya tabiat merokok ini berkait dengan tingkah laku, justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa mempromosi dan melaksanakan penguatkuasaan secara berkala untuk membendung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Seremban malam tadi.
Dia turut menegaskan larangan itu bukan bertujuan menghukum golongan perokok, sebaliknya bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada mereka serta perokok pasif iaitu individu yang berada di sekeliling.
Harlina berkata aktiviti mempromosi dan peringatan kepada masyarakat mengenai keburukan tabiat merokok adalah tanggungjawab semua pihak selain pelanggan dan pemilik premis makanan perlu memainkan peranan masing-masing.
Selain itu, dia berkata perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape turut diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf KKM memandangkan ia juga boleh membahayakan diri dan orang sekeliling.
- Bernama
