Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan 10 wanita warga Indonesia selepas menumpaskan sindiket yang memperalatkan pendatang asing untuk dijadikan sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan di dua premis di Temerloh, Pahang.
Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata dalam operasi khas yang dilakukan pada 16 Mei lalu, pihaknya menahan seorang wanita warga Indonesia yang didapati memegang pas lawatan sosial tamat tempoh dan bertanggungjawab menguruskan mangsa.
Mangsa yang memiliki pas lawatan sosial tamat tempoh, dibawa masuk oleh agensi pengambilan pembantu rumah milik seorang warga Malaysia. Warga Malaysia berkenaan turut ditahan.
“Modus operandi sindiket itu adalah menawarkan khidmat wanita asing sebagai pembantu rumah dan pekerja pembersihan di rumah yang ditentukan oleh sindiket.

“Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan mereka akan menghubungi agensi itu, menetapkan tarikh, serta mengatur untuk mengambil dan menghantarnya semula selepas itu,” katanya.
Dia berkata pemilik rumah dikenakan bayaran antara RM150 dan RM250 sehari dan sindiket yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu itu telah mengutip hampir RM2 juta daripada perkhidmatan berkenaan.

Menurut Ruslin, mangsa turut mengaku tidak pernah menerima gaji daripada sindiket berkenaan.
Selain itu, mereka juga dinafikan hak seperti hari rehat dan menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga mereka..
Kesemua pendatang asing yang ditahan dibawa ke depoh Imigresen Putrajaya, manakala pemilik agensi terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas disoal siasat.
