PARLIMEN l Putrajaya enggan mendedahkan jumlah yang telah dibelanjakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk lawatan ke luar negara sejak memegang jawatan.
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) dalam soalannya meminta perdana menteri mendedahkan jumlah yang telah dibelanjakan bagi penggunaan jet peribadi kerajaan dan senarai destinasi berkenaan.

Dalam jawapan bertulis Armizan Mohd Ali - menteri yang menjaga hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas) memaklumkan bahawa penggunaan jet peribadi atau pesawat eksekutif kerajaan adalah keistimewaan yang dinikmati oleh setiap perdana menteri selaku ketua kerajaan.
Armizan mendedahkan Anwar telah ke luar negara menggunakan jet eksekutif kerajaan jenis Airbus (ACJ-320) yang di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak sembilan kali. Sementara perdana menteri telah 17 kali ke destinasi domestik menggunakan pesawat jenis Global Express dan Falcon di bawah seliaan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Pesawat tersebut merupakan pesawat rasmi kerajaan di mana ia digunakan atas urusan rasmi atau khas YAB Perdana Menteri.
“Segala kos yang terlibat dalam penerbangan tersebut adalah dalam anggaran yang bersesuaian dengan perkhidmatan dan pengurusan pesawat berkenaan,” kata Armizan.
Soalan yang hampir sama dikemukakan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (PN - Kubang Kerian), yang meminta penjelasan mengenai hasil pelaburan yang sebenar dari lawatan tersebut.
Armizan memaklumkan bahawa Anwar telah melawat Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi dan China.

Dia berkata misi-misi penggalakkan pelaburan dan perdagangan serta lawatan rasmi itu telah berjaya menarik potensi pelaburan dianggarkan berjumlah RM184.73 billion dan potensi eksport berjumlah RM3.22 billion.
“Lawatan rasmi dan persidangan antarabangsa ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa terhadap kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di Malaysia.
“Di antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi ini termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat,” katanya.
Secara khusus, Armizan berkata semasa lawatan rasmi ke Arab Saudi pada Mac lalu, beberapa perjanjian telah dimeterai yang bakal menyaksikan penubuhan kilang-kilang semikonduktor di Negeri Sembilan dengan dengan anggaran pelaburan RM50 juta dari negara itu.

Selain itu, tambahnya, bahawa beberapa MOU turut dimeterai dengan Kemboja untuk membawa masuk pekerja Kemboja.
