Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket penipuan pelaburan beroperasi di Malaysia kerana 'kondusif' - Pakar
Diterbitkan:  May 25, 2023 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang ditumpaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac lalu beroperasi di Malaysia kerana persekitaran yang kondusif di negara ini.

Penyiasat jenayah siber yang berpangkalan di New South Wales dan pengerusi IFW Global, Ken Gamble, yang mula menyiasat kumpulan itu pada tahun 2020 berkata terdapat beberapa sebab mengapa hal itu berlaku.

"Mereka mencari negara di mana mereka boleh bertapak dengan selamat, atau di mana mereka boleh membayar gaji yang sangat rendah.

"Dan mereka akhirnya mencari peluang di mana mereka boleh merasuah pegawai," kata Gamble kepada agensi berita Australia 7News, yang menjalankan misi pengawasan eksklusif untuk menangkap penjenayah scammer bersama Gamble, dan SPRM.

Menurut laporan itu, sindiket itu, didalangi warga Britain, menyasarkan pelabur di seluruh dunia, termasuk warga Australia secara dalam talian di mana mereka mengiklankan jualan sekuriti dalam syarikat - sebahagian daripadanya disenaraikan dalam bursa saham asing.

Sepasang suami isteri yang kerugian AUS$250,000 (RM755,000) kepada sindiket itu berkata mereka ditipu untuk membeli saham yang tidak wujud dalam syarikat tersebut.

Secara keseluruhan, sindiket itu menipu berjuta-juta dolar daripada mangsa di seluruh dunia.

Gamble berkata pihak berkuasa Australia tahu mengenai penipuan sedemikian, tetapi tidak melakukan sebarang tindakan untuk memberi amaran kepada warga Australia mengenainya.

Sindiket penipuan dilaporkan menggunakan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) untuk menjalankan aktiviti mereka, menjadikan mereka "hampir mustahil" untuk dikesan.

Mengenai serbuan itu, laporan itu mengatakan SPRM menahan suspek melalui "Ops Tropicana" tanpa pengetahuan polis, kerana mereka percaya pihak berkuasa itu "disogok untuk menutup mata."

‘Serbuan secara rahsia’

Operasi 'Op Tropicana' dijalankan pada Februari lalu, di mana pasukan itu menyerbu 24 lokasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang secara serentak.

Premis yang diserbu termasuk tiga bilik dandang, dua di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang. Secara keseluruhan, 10 orang dicekup termasuk lima warga Britain dan dua warga Filipina.

Pada Mac lalu, dua warga Britain dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan itu.

Selain itu, hakim turut mendenda Andrew Mark Peters, 55, sebanyak RM180,000 atau penjara 22 bulan dan Darren Anthony Mcnicholas, 51 didenda RM140,000 atau penjara 16 bulan.

Lihat Komen
ADS