Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: Tiada fail siasatan dibuka isu dakwaan kempen PRU guna 'dana judi'
Diterbitkan:  May 26, 2023 8:46 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) menggunakan hasil daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen bagi pilihan raya umum (PRU) tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu.

"Walau bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

"Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini," katanya dalam jawapan bertulis parlimen, semalam.

Dia menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta status siasatan berhubung dakwaan pihak dalam PN menerima sumbangan daripada dana perjudian untuk membiayai kempen pilihan rayanya tahun lepas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Disember lalu berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata adalah tidak logik untuk syarikat perjudian membiayai kempen pilihan raya PN memandangkan gabungan itu bertekad untuk menutup syarikat judi.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut menyifatkan "tuduhan liar" itu sebagai tidak berasas dan meminta Anwar mengemukakan bukti.

Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Hadi, Azalina berkata SPRM telah menyelesaikan siasatan berhubung parti-parti terlibat yang mendapat pendanaan ketika PRU-15.

Kata Azalina, hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur penerimaan rasuah.

"Walau bagaimanapun, jika terdapat mana-mana orang yang mempunyai bukti baru berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak SPRM dan siasatan dan tindakan lanjut sewajarnya akan dijalankan dengan kadar segera mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini," katanya..

Lihat Komen
ADS