Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiada logo DAP di kertas undi, apa nak dirisaukan? - Ahmad Maslan
Diterbitkan:  May 26, 2023 4:04 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan meminta semua pihak menghentikan polemik susulan kenyataannya yang menggesa ahli Umno menyokong calon DAP pada pilihan raya negeri akan datang.

Jelasnya seruan itu dibuat supaya pengundi memilih calon daripada parti Kerajaan Perpaduan dan bukan hanya DAP.

“Bila berada dalam satu pasukan, kita perlu saling bantu-membantu.

“Tiada logo DAP mahupun Umno di atas kertas undi.

“Sebaliknya hanya logo gabungan, iaitu Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) dan lawan kita adalah Perikatan Nasional (PN). Itu jelas.

“Apa nak dirisaukan? Tak perlu polemikkan kenyataan saya begitu hebat,” katanya seperti dilaporkan portal Suara TV hari ini.

Ahmad Maslan minggu lalu dilapor menggesa penyokong Umno mengundi calon DAP dalam enam pilihan raya negeri akan datang.

Katanya perkara itu wajar dilakukan memandangkan Umno kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Kenyataannya itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk ahli majlis tertinggi Umno, Isham Jalil yang mengatakan sokongan kepada Umno mungkin terhakis jika pemimpinnya terus meminta penyokong mengundi calon DAP.

‘BNM cari penyelesaian kukuhkan Ringgit’

Sementara itu Bernama melaporkan Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mencari penyelesaian yang sesuai untuk mengukuhkan kembali nilai ringgit yang kini melemah.

Katanya, trend mata wang tempatan yang semakin melemah dijangka berterusan sekiranya permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan had siling hutang negara itu belum diluluskan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan pihak Bank Negara dan saya yakin mereka mempunyai penyelesaian kerana lebih pakar dan arif dalam hal itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan, di Putrajaya hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kadar ringgit yang kekal rendah apabila keputusan perbincangan mengenai had siling hutang AS terus mencetuskan ketidaktentuan yang ketara.

Setakat 9 pagi hari ini, ringgit susut kepada 4.6280/6305 berbanding dolar AS daripada 4.6245/6285 pada akhir urus niaga semalam, paras terendah dalam tempoh enam bulan.

Lihat Komen
ADS