Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kualiti perlukan masa' - Pengusaha yakin durian China tak jejas Malaysia

Malaysia merupakan pengeksport kedua terbesar buah durian ke China dengan raja buah itu mendapat sambutan begitu luar biasa selepas menembusi pasaran republik itu lebih sedekad lalu.

Ramai warga China mengenali produk durian Malaysia seperti Musang King, durian klon dan durian kampung yang dianggap lebih baik berbanding durian di negara lain.

Durian sememangnya amat digemari di China. Negara itu mengimport 825,000 tan durian dengan nilai RM17.732 billion setiap tahun.

Baru-baru ini China dilaporkan akan mula menuai hasil durian Musang Kingnya sendiri - mencecah ribuan tan metrik - pada Jun depan menerusi ladang-ladangnya di wilayah Hainan.

Menurut laporan media tempatan, ladang seluas 93 hektar itu, iaitu seluas Kuala Lumpur, sedia untuk dituai dengan anggaran hasil sekitar 2,450 tan metrik durian.

Khabar ini sekali gus membimbangkan pengusaha durian tempatan yang dijangka berdepan masalah penurunan eksport durian ke China.

Bagaimanapun, bagi Presiden Persatuan Pengeksport-pengeksport Durian Malaysia Sam Tan, laporan berkenaan tanaman durian di China sengaja dibesar-besarkan oleh pihak negara itu dan pengeluaran pertamanya pada bulan depan tidak akan memberi kesan besar kepada pengusaha tempatan.

"Sekarang pun tanaman (durian di China) bukan banyak.

"Berbeza dengan kita di Malaysia, di mana kita telah membuktikan hasil buah kita memang terbaik. Jadi, saya tak nampak ada kesan apa-apa," katanya kepada Malaysiakini.

Ladang durian di Hainan

Sam berkata sukar untuk China menjadi pengeksport utama global memandangkan sekurang-kurangnya 10 tahun diperlukan untuk menghasilkan durian bermutu tinggi.

"Kalau tanam di China, bukan tak boleh berjaya tapi belum masanya lagi. Antaranya kerana cuaca dan kos yang sangat tinggi. Nak dapatkan ketebalan isi buah durian mengambil masa banyak tahun dan pastinya bukan mudah," katanya.

'Cuaca, tanah ketentuan Tuhan'

Tambah Sam, perubahan musim di negara itu juga akan menyukarkan lagi China untuk menjadi pengeksport utama durian.

"Pokok durian Musang King kita boleh berbuah sehingga tiga kali setahun.

"Di China, cuma ada setengah tahun untuk pokok menghasilkan buah kerana musim sejuk di sana hampir setengah tahun. Jadi mereka hanya hasilkan buah sekali setahun sahaja."

Sam berkata cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun memberi kelebihan besar kepada pengusaha durian tempatan.

"Dari segi tanah dan cuaca memang tidak ada pihak boleh lawan kita, sebab cuaca Malaysia cukup bagus untuk penanaman durian dan ia merupakan kelebihan kepada kita.

"Tanah dan cuaca ini bukan boleh ditukar atau tentukan. Ini semua ketentuan Tuhan," katanya lagi, sambil menambah langkah China secara tidak langsung memberi promosi percuma kepada durian tempatan.

"Ia juga persaingan yang sihat buat kita," katanya lagi.

Durian Musang King memerlukan pengairan bantuan semasa pertumbuhan vegetatif dan pada masa sama memerlukan cuaca panas antara satu hingga tiga bulan untuk merangsang pembungaan.

Pokok ini juga memerlukan air yang cukup apabila kudup bunga mulai pecah dan buah mula terbentuk namun tidak boleh berlebihan bagi mengelakan persaingan makanan antara buah muda dengan pembentukan pucuk baru.

Tembusi pasaran China

Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata kementerian itu sedang dalam perbincangan dengan pihak di China bagi mengeksport buah durian segar ke sana.

Dia juga berkata pada masa ini, sebanyak 44 fasiliti pemprosesan telah menerima kelulusan eksport daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi produk durian dalam bentuk ulas, biji dan pes.

Konsultan pertanian dan pengusaha tanaman durian Musang King, Lim Chin Khee sependapat dengan Sam berkenaan berita tanaman durian di China yang didakwanya berlebihan.

Dia mendakwa berita berkenaan perkara itu yang ditularkan hanyalah strategi dan tidak mencerminkan hakikat sebenar.

"Saya sudah lawat tanaman durian mereka dan setakat ini ada lima ribu ekar saja, itu pun baru berusia setahun hingga dua tahun dan kita tahu pokok durian hanya boleh mengeluarkan hasil yang lebih tinggi sekurang-kurangnya pada usia 10 tahun ke atas.

"Jadi, masih jauh lagilah untuk capai sasaran mereka dan lima ribu ekar itu pun sangat kecil sebenarnya. Maka agak mustahil untuk China eksportnya ke seluruh dunia," katanya sambil menambah Malaysia sudah mula mengeksport durian sejak tahun 1980-an.

Negara jiran saingan sebenar

Pada masa sama, Lim berkata dia maklum akan kerisauan yang membelenggu pengusaha durian tempatan dengan saingan yang akan diberikan China.

Katanya, banyak perubahan boleh berlaku dalam tempoh 10 tahun namun pada masa ini China bukan saingan kepada eksport durian negara, sebaliknya negara-negara di Asia Tenggara.

"Kita sepatutnya lebih risau kepada Vietnam, Thailand, Indonesia, Laos, Kemboja dan Filipina sebab dari segi tenaga buruh, kawasan penanaman dan faktor cuaca, negara-negara ini lebih baik daripada China.

"Pada masa ini, keluaran durian China belum cukup untuk menampung permintaan rakyat mereka, maka sudah pasti mereka akan terus mengimport dari Malaysia," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas saranan kerajaan agar pengusaha ladang durian tempatan mempelbagaikan hasil keluaran, Sam berkata lebih baik untuk kerajaan persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membuka lebih banyak ladang baru.

"Lebih baik sediakan tanah di negeri-negeri untuk pengusaha tanam durian. Durian adalah produk perladangan masa depan kerana ia lebih menguntungkan berbanding buah-buahan lain, sawit mahupun getah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS