Sekumpulan pakar dan saintis menawarkan kerjasama kepada kerajaan bagi mencari jalan menangani isu salah guna dadah melalui pendekatan berasaskan komuniti.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mereka berkata pemulihan mandatori ke atas individu yang ditangkap bersama sejumlah kecil dadah seperti yang dilaksanakan sekarang adalah tidak berkesan.
Pada masa sama, mereka berkata, isu penggunaan dadah merupakan masalah kompleks yang berlarutan selama beberapa dekad serta menyentuh pelbagai aspek dalam masyarakat.
Kata mereka langkah kerajaan mempernenalkan rang undang-undang (RUU) baru yang akan diperkenalkan kerajaan bagi menyah kriminalisasi pemilikan serta penggunaan dadah dalam kuantiti yang kecil adalah sangat wajar.
"Kami menggesa kerajaan bersama-sama dengan kami - komuniti saintifik dan masyarakat sivil (termasuk komuniti orang yang menggunakan dadah) bagi membincangkan butiran rang undang-undang ini.
"Kami juga menyeru supaya kerajaan dapat bekerjasama dengan kami dalam menentukan kuantiti dadah yang akan membezakan pengguna dengan pengedar; prosedur pentadbiran sivil bagi mereka yang ditangkap di bawah kuantiti dadah yang dibenarkan seperti rawatan berbentuk sukarela dan rawatan berasaskan komuniti; memperkasakan peranan keluarga dan kaedah pencegahan berasaskan bukti sains," kata mereka.
Seramai 12 orang menandatangani kenyataan bersama tersemu. Antaranya ialah Prof Dr Adeeba Kamarulzaman dari Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERiA) Universiti Malaya, Prof Dr Vicknasingam Kasinather (Pusat Untuk Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Rosmawati Mohamed (Akademi Perubatan Malaysia).
Kata mereka dekriminalisasi penggunaan dadah itulah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan RUU yang dicadangkan pihak kerajaan.
"Memandangkan kerajaan telah mengambil pendekatan Malaysia Madani dalam semua sektor, kami ingin menggesa semua menteri untuk terus mengkaji semula undang-undang berkaitan yang memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia dari semua kaum dan jantina.
"Bukti global dan tempatan adalah jelas. Pemenjaraan dan pemulihan mandatori bukanlah respon berasaskan bukti kepada masalah penggunaan serta ketagihan dadah.
"Sebaliknya, perkara ini boleh menyebabkan kesesakan di penjara, seterusnya membawa kepada penyebaran penyakit berjangkit seperti tuberkulosis dan HIV di dalam penjara dan komuniti, serta memburukkan lagi isu kesihatan mental di kalangan mereka yang dipenjarakan," kata kenyataan itu.
Tambah mereka, kajian menunjukkan strategi yang digunakan untuk menangani masalah dadah sekarang telah gagal.
Pembaharuan dasar dadah di seluruh dunia, katanya, menunjukkan hasil yang lebih baik untuk masyarakat melalui program seperti diskriminasi, peralihan dan penambahbaikan rawatan bantuan perubatan.
Justeru mereka yang tidak mempunyai sebarang pertalian politik menyatakan kesediaan membantu kerajaan merangka lebih banyak undang-undang dan dasar berasaskan bukti.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan ke arah masa depan yang lebih cerah dan adil untuk semua rakyat Malaysia," katany kumpulan terbabit.
Nama lain yang turut memberikan kenyataan itu ialah:
Dr Muruga Raj Rajathurai (Persatuan Perubatan Malaysia), Medical Association (MMA)
Dr Steven Chow (Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia)
Dr Steven Chow (Persatuan Ubat Ketagihan Malaysia)
Prof Dr Mohamad Hussain Habil (Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya)
Prof Madya Dr Rushdi Rashid (Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya)
Prof Madya Dr Yee Hway Ann @ Anne Yee (Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya)
Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa (Persatuan Psikiatri Malaysia)
Prof Dr Sahrim Ahmad (Pertubuhan Ikram)
Prof Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa (Majlis Aids Malaysia)
Kumpulan pakar terbabit turut mengucapkan tahniah atas keberanian kerajaan kerana meluluskan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 baru-baru ini.
"Keputusan ini merupakan peristiwa penting dalam sejarah sistem perundangan di negara ini kerana ia menunjukkan bahawa hasil kajian sains dan pematuhan terhadap perjanjian Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah diambil kira dalam mencapai kata persetujuan ini," katanya.
