Kerajaan digesa menarik balik rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mengarahkan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kelahiran kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang mencerminkan statusnya sebagai warganegara Malaysia.
Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam tindakan Putrajaya, dengan menyifatkan ia sebagai "rayuan yang tidak adil dan tidak perlu".
Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek mempersoalkan objektif kerajaan melalui rayuan itu apabila Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sudah mengakui bahawa ketiadaan kerakyatan adalah isu nasional yang serius.
Saifuddin, pada Januari lalu, telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menangani masalah tanpa kerakyatan di negara ini.
“Namun, rayuan ini menunjukkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak serius menangani masalah tanpa kerakyatan.
"Lebih teruk lagi, ia terus mengekalkan masalah dengan memanjangkan isu apabila memfailkan rayuan yang tidak bermaruah untuk menjadikan kanak-kanak malang ini tiada kerakyatan seumur hidup," kata Zaid.
Semalam, dilaporkan bahawa peguam Marcus Lee, yang mewakili bapa kanak-kanak itu, berkata pihaknya menerima salinan notis rayuan yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagaimanapun, Lee dilaporkan sebagai berkata oleh FMT bahawa pasukannya tidak mengetahui sebarang permohonan yang dibuat oleh AGC untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 18 Mei, sementara menunggu pendengaran rayuan.
Pada 18 Mei, Mahkamah Tinggi memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran dalam tempoh 30 hari bagi menggambarkan status kanak-kanak berusia lima tahun itu sebagai warganegara Malaysia.
FMT melaporkan bahawa Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengakui laporan DNA, yang tidak dipertikaikan oleh JPN, mengesahkan bahawa pemohon adalah bapa kandung budak itu.
Dalam afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh bapa kanak-kanak itu pada Jun lalu, lelaki berusia 27 tahun itu berkata anaknya dilahirkan pada Julai 2018 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Ini, katanya, adalah sebulan sebelum perkahwinannya dengan wanita Vietnam, ibu kanan-kanak itu, didaftarkan.
Bagaimanapun, sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh JPN mengklasifikasikan kanak-kanak itu sebagai bukan warganegara.
'Tiada justifikasi moral'
Zaid menegaskan bahawa tidak ada justifikasi moral bagi kerajaan untuk "menghukum" anak-anak luar nikah tanpa kerakyatan.
“Ini adalah asas utama kerajaan mahu menafikan status kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia.
"Ia juga merupakan tindakan yang sangat tidak berhati perut yang menganiaya seorang kanak-kanak semata-mata," katanya.
Dia menambah bahawa mahkamah berhak memutuskan bahawa kanak-kanak itu adalah warganegara di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan kerana bapanya warga Malaysia, mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini pada 2022.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan oleh ketua hakim negara sendiri secara terang-terangan diabaikan oleh kerajaan dan menteri dalam negeri.
“Sebaliknya kerajaan pimpinan PH, yang berjanji berulang kali untuk melindungi hak asasi manusia, bertekad untuk menghalang anak kecil ini daripada mendapat hak asasinya untuk kewarganegaraan.
“Tanpa kewarganegaraan, masa depan kanak-kanak itu suram. Menjadi warga tanpa kerakyatan bukanlah sesuatu yang remeh; ia menghalang hak individu untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan mata pencarian keseluruhan.
"Tidak ada masa depan bagi mereka yang tidak mempunyai kerakyatan, sebab itu adalah sangat penting untuk menghapuskan ketiadaan kerakyatan," katanya.
Zaid menekankan pentingnya undang-undang mengenai kewarganegaraan diperluaskan dan tidak "dikembalikan sehingga merugikan kanak-kanak" yang tidak bersalah berhubung keadaan kelahiran mereka.
