Paling Popular
Terkini

Malaysia memerlukan lonjakan besar dalam usaha untuk membangunkan Tenaga Boleh Baharu (TBB).

Bagi saya, ia memerlukan perkembangan yang progresif serta pelan yang definitif (a progressive progress and a definitive plan). Mutakhir ini, visi yang diketengahkan Menteri Ekonomi dan juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk menjadikan TBB sebagai sumber ekonomi baharu negara merupakan langkah yang amat diperlukan negara.

Ada beberapa sebab untuk TBB di Malaysia dibangunkan dengan komprehensif dan secepat mungkin. Pertama, membangunkan tenaga boleh baharu penting bagi menyokong sasaran Malaysia menjadi negara neutral karbon dan mencapai zero net carbon emission dalam tahun 2050. Dianggarkan pada tahun 2050, jumlah karbon dioksida yang dihasilkan

Malaysia adalah sebanyak 280 juta tan, yang majoritinya disumbangkan oleh tenaga arang dan bahan bakar fosil. Buat waktu ini, bekalan tenaga elektrik dari sumber boleh baharu adalah pada kadar 25 peratus, dan kita masih lagi jauh dalam sasaran untuk mencapai sasaran 40 peratus pada tahun 2035.

Pada Khamis lalu, satu pindaan Akta yang memberikan Menteri kuasa untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana–mana peruntukan Akta 725 telah dibahas dan diluluskan Dewan Rakyat.

Saya berpendapat, kuasa ini tidaklah bermaksud Menteri dengan bebas menggunakannya sehingga menimbulkan kesangsian pemegang taruh, terutama sekali pemain industri terhadap komitmen kita memperkasa TBB di Malaysia. Kuasa yang diberikan wajar digunakan bagi menyokong usaha Kerajaan memenuhi sasaran yang kita sendiri letakkan, sama ada mencapai negara neutral karbon 2050 atau pun meningkat bekalan tenaga elektrik dari sumber boleh baharu pada kadar 40 peratus pada 2035.

Kedua, subsidi tarif elektrik yang kian meningkat saban tahun dapat dijimatkan dengan penggunaan TBB yang meluas dalam kalangan masyarakat dan juga industri. Malaysia memperuntukkan RM14.91 bilion bagi menampung subsidi tarif elektrik sahaja. Dengan usaha enambahbaikan pemberian subsidi secara pemberian subsidi bersasar, Kerajaan dapat jimatkan RM4.16 bilion.

Dalam konteks ini, jika keutamaan Kerajaan adalah untuk mengurangkan jumlah perbelanjaan melalui rasionalisasi subsidi, terutama sekali subsidi tarif elektrik, maka meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu adalah the only way forward bagi Malaysia.

Selain usaha untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada golongan B40 dan M40, tenaga boleh baharu yang lebih murah dan lebih mesra alam perlu menjadi antara instrumen untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi Kerajaan pada jangka masa panjang.

Negara-negara Barat sudah mula menjadikan renewable energy sebagai sumber tenaga utama untuk mengaantikan pergantungan kepada bahan bakar fosil yang amat terdedah kepada perubahan geopolitik dan manipulasi harga pasaran komoditi global.

Secara total, pada 2050, AS$12 trillion boleh dijimatkan pelbagai negara jika tenaga boleh baharu menjadi sumber tenaga utama menggantikan bahan bakar fosil. Elok juga jika Malaysia membuat anggaran, pada 2050, berapakah perbelanjaan subsidi yang dapat dikurangkan Kerajaan apabila renewable energy menjadi sumber bekalan tenaga utama negara. Kita boleh menilai pilihan mana yang lebih menguntungkan buat fiskal negara.

Ketiga, pembangunan dan pembudayaan TBB melalui pelaburan oleh pihak swasta perlu digiatkan. Berdasarkan International Renewable Energy Agency, Malaysia memerlukan pelaburan sebanyak AS$ 375 bilion dalam pembangunan sektor TBB bagi mencapai sasaran neutral karbon pada 2050.

Anggaran ini merupakan satu jumlah yang besar dan memerlukan komitmen yang serius dari pelabur tempatan mahupun antarabangsa. Namun begitu, mood para pelabur pula kurang berpihak kepada pelaburan dalam sektor TBB di Malaysia.

Jika kita merujuk laporan market intelligence antarabangsa 1 berkenaan senario sektor tenaga boleh baharu negara, Malaysia tertinggal di belakang Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam dalam penjanaan TBB.

Kita juga dikatakan tertinggal dalam menarik pelaburan swasta untuk sektor yang sama.

“Malaysia lacks ‘strong’ renewable energy policies” dan “There are no incentives offered to large-scale renewables” adalah antara headlines yang dimainkan media dan juga sentimen yang dipercayai pemain-pemain industri.

Seperti contoh, Malaysia mengalami masalah dalam menarik projek tenaga boleh baharu berskala besar akibat kekurangan “robust policies” dari pihak Kerajaan. Jika ada pun insentif dan polisi, pemain industri berpendapat ia hanya berfokus di sebelah Utara negara. Padahal keperluan untuk renewable energy banyak tertumpu di Selatan tanah air terutama sekali Lembah Klang.

Kesimpulannya, Malaysia memerlukan langkah yang progresif serta pelan yang definitif dalam merancakkan lagi sektor tenaga boleh baharu negara. Langkah dan pelan tersebut perlu mendapat penerimaan pemegang taruh, terutama sekali rakyat dan juga sektor swasta. Saya percaya, dalam mereformasi semula perbelanjaan fiskal negara, tenaga boleh baharu merupakan jawapan jangka masa panjang kita. Malaysia punya sasaran dan sekarang adalah masanya untuk mencapai sasaran yang kita sendiri tetapkan. It is now, or never.


IR HASNI MOHAMMAD ialah ahli parlimen Simpang Renggam

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS