Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal LCS: TI-M tuntut akauntabiliti
Diterbitkan:  May 29, 2023 9:34 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan kekurangan akauntabiliti selepas Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan penubuhan Kenderaan Tujuan Khas (SPV) untuk mengambil alih syarikat yang sepatutnya membina enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

TI-M berkata walaupun pihaknya memahami rasional di sebalik usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk memastikan projek bernilai RM9 bilion yang dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) pada 2011 itu disiapkan, terdapat banyak persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan.

“TI-M menerima rasional di sebalik keputusan ini memandangkan RM6.083 bilion wang pembayar cukai telah dibayar setakat ini.

“Namun, setelah penilitian dibuat berkaitan status projek mendapati terdapat beberapa keputusan yang tidak memuaskan,” kata badan pemerhati rasuah itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut menyatakan bahawa kapal pertama dijadualkan dihantar pada April 2019, namun hari ini selepas empat tahun masih tiada satu kapal diterima.

“Kos projek telah meningkat daripada RM9 bilion kepada RM11.2 bilion, namun TLDM hanya akan menerima lima kapal LCS berbanding rundingan awal sebanyak enam kapal,” katanya.

TI-M juga berkata kerajaan perlu menjawab soalan berikut:

1) Apakah rasional penganugerahan projek berkenaan kepada BNS pada tahun 2011 melalui rundingan terus?

2) Adakah amaran dikeluarkan apabila BNS mula-mula menunjukkan ketidakupayaan untuk menyiapkan LCS mengikut bajet?

3) Apakah tindakan yang diambil untuk menangani peringatan yang telah dikeluarkan?

4) Siapa yang bertanggungjawab untuk meluluskan perubahan spesifikasi reka bentuk daripada LCS pilihan TLDM?

5) Adakah terdapat sogokan yang disyaki dalam cara rundingan kontrak dilakukan dan harga kontrak akhir ditentukan?

TI-M berkata bahawa ini adalah beberapa soalan yang sebelum ini pernah dibangkitkan pada Ogos 2022, selepas dilaporkan pada Januari 2022 bahawa SPRM telah menahan dua eksekutif kanan berhubung projek LCS.

“Selain itu, sehingga kini kami tidak mendengar sebarang tindakan untuk mengatasi pelbagai isu yang dibangkitkan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Anwar berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam.

“Memastikan projek LCS tidak terbengkalai adalah penting tetapi memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk projek bermasalah ini dan mengenakan tindakan ke atas mereka juga adalah penting,” katanya.

Lihat Komen
ADS