Kerajaan persekutuan sedang mengkaji penyewaan (chartering) penerbangan untuk menurunkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perlu ada lebih banyak persaingan dalam industri penerbangan untuk menurunkan harga tiket dalam jangka panjang.
“Kita tidak boleh memaksa syarikat penerbangan swasta menurunkan harga mereka.
“Kementerian Pengangkutan mencadangkan dalam kes-kes tertentu, kerajaan mengambil alih dengan menyewa penerbangan (ke Malaysia Timur), terutamanya pada musim perayaan, supaya kos dalam lingkungan RM300.
"Kita sedang memikirkannya tetapi melainkan ada persaingan yang adil, ia adalah masalah," kata Anwar.

Dia berkata demikian ketika berucap dalam sesi townhall bersama pelajar dan alumni universiti Sabah dan Sarawak hari ini.
Anwar berkata beliau bersetuju serta-merta dengan cadangan Premier Sarawak Abang Johari Openg untuk memulakan syarikat penerbangan butik milik kerajaan kerana ia akan mewujudkan lebih banyak persaingan dalam industri penerbangan.
Dilaporkan pada April bahawa syarikat penerbangan butik Sarawak akan mula beroperasi selepas ia memperoleh sekurang-kurangnya empat pesawat.
Pesawat berkenaan masing-masing akan mempunyai kapasiti tempat duduk 120 penumpang.
Abang Johari berkata kerajaan negeri terpaksa campur tangan dengan cara ini untuk menstabilkan harga tiket penerbangan Sarawak.
Tambang penerbangan yang terlalu tinggi ke Sabah dan Sarawak menjadi isu lama yang sering timbul semasa musim perayaan.
