Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
32 sami Buddha tiba ke Borobudur selepas berjalan kaki ribuan kilometer
Diterbitkan:  Jun 1, 2023 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Seramai 32 sami Buddha dari Thailand tiba di kawasan candi Borobudur di Jawa Tengah semalam selepas berjalan kaki mengharungi ribuan kilometer sejak Mac lalu.

Kedatangan para biksu yang melakukan ritual dinamakan 'Thudong' sempena sambutan hari Wesak itu mendapat perhatian dan disambut meriah masyarakat Magelang di Jawa Tengah.

Menempuh jarak yang jauh, perjalanan biksu atau rahib itu turut menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran, lapor Tempo.co.

Seorang sami dari Thailand, Wicay berkata dia menukar sandal setiap dua atau tiga hari pada setiap perjalanan.

“Kena tukar sandal sebab perjalanan jauh dan agak laju, sekitar 7 hingga 9 kilometer sejam,” kata Wicay kepada Tempo.co.

Menurut Wicay, sami sepatutnya tidak boleh memakai alas kaki ketika melakukan perjalanan ibadat yang jauh.

“Bagaimanapun, jawatankuasa dan panitia tidak membenarkannya, bagi mengelak kecederaan atau kemalangan, ia (sandal) telah disediakan untuk digunakan,” katanya.

Menurut Wicay, sandal yang dipakainya berbentuk jari kaki getah kerana ringan dan lembut selain selesa dipakai.

“Kasut yang digunakan untuk kegunaan harian biasanya diperbuat daripada kayu, tetapi jika menggunakan bahan ini ia keras dan berbahaya di jalan raya,” katanya.

Wicay biasanya menukar alas kakinya pada setiap rehat atau apabila ia rosak.

"Kadang-kadang kami tiba di beberapa tempat yang naik, turun, dan berliku-liku. Kami juga pernah berjalan ketika hujan. Hujan paling lama dan kerap berlaku di Indramayu, Losari dan sekitarnya," kata Wicay.

Wicay berkata, purata kelajuan mereka berjalan adalah kira-kira 10 kilometer sejam.

Manakala waktu rehat biasanya mengambil masa selama 30 minit hingga 1 jam pada waktu-waktu tertentu, memandangkan cuaca panas pada siang hari.

“Kami rahib hanya makan setiap pagi hingga jam 12 tengah hari, selain itu kami hanya boleh minum,” kata sami itu.

Selama perjalanan, Wicay berkata dia bersama biksu yang lain biasanya melakukan sembayang atau semedi.

"Membaca mantera dan doa agar seluruh umat manusia diberikan keberkahan, kedamaian, dan keselamatan," katanya.

Mereka memulakan ritual berjalan kaki itu sejak 23 Mac lalu.

Thudong adalah perjalanan ritual para sami yang dilakukan dengan berjalan kaki menempuh ribuan kilometer sehingga sampai ke destinasi terakhir iaitu candi Borobudur.

Menurut bahasa Pali, thudong berasal dari kata dhutanga yang bererti latihan keras.

Latihan ini dilakukan bagi menjalani perintah Buddha, iaitu 13 amalan pertapaan. Ia bermakna para sami harus menyatu dengan alam untuk mencapai meditasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS