Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi naif, Akta 325 bukti jelas P Pinang negeri berdaulat - Faiz
Diterbitkan:  Jun 2, 2023 11:23 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) adalah bukti jelas Pulau Pinang sebuah negeri yang berdaulat, kata anggota jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Dia berkata demikian mengulas kenyataan berterusan Menteri Besar Kedah, Sanusi Muhammad Noor yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah dengan merujuk kepada sejarah lama ratusan tahun dulu.

"Kewujudan satu undang-undang bertulis yang bernama Akta Kedah Dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) adalah bukti jelas dan dokumen konklusif bahawa Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang berdaulat dan bukan milik Kedah.

"Walaupun Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang diiktiraf dalam Persekutuan Malaysia, namun Akta 325 ini adalah undang-undang konklusif dan merupakan perjanjian sah dan mengikat kedua-dua negeri.

"Ini adalah kerana akta ini masih berkuatkuasa dan digubal bagi menentukan sempadan kedua-dua negeri. Bila Akta memperuntukkan sempadan, maka wujudlah sebuah negeri yang berdaulat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, akta berkenaan yang digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan turut dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu

"Adakah Sanusi mahu menafikan satu Akta yang diluluskan secara sahih? Kenapa beliau tidak bersuara membantah Akta ini ketika digubal? Adakah Sanusi mahu dianggap mengingkari Majlis Raja-raja Melayu? Kenaifan Sanusi dalam memahami undang-undang meletakkan diri beliau tidak layak untuk terus menjawat jawatan utama pentadbiran negeri," katanya lagi.

Semalam, menteri besar Kedah itu dilaporkan sedia bersemuka di mahkamah bagi mempertahankan hujahnya yang mendakwa Pulau Pinang milik Kedah.

Sanusi menegaskan pendiriannya tidak berubah dan kenyataan yang dibuat berlandaskan fakta, bukan secara semberono.

"Saya sedia jumpa di mahkamah. Saya bersedia hingga ke tahap itu (untuk pertahan hujah saya). Di mana saja," kata Sanusi.

Mengulas lanjut, Faiz berkata kenyataan Sanusi itu boleh menimbulkan kegelisahan kerana jelas mengelirukan masyarakat khususnya golongan muda.

Katanya, kenyataan berterusan Sanusi seperti mahu menafikan kewujudan akta yang mengiktiraf kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat.

"Kenyataan beliau ini boleh mengelirukan orang ramai dan generasi muda dan boleh menimbulkan suasana tegang dan kegelisahan di kalangan rakyat terutama generasi muda. Generasi muda perlu dididik dengan ilmu dan fakta yang betul, bukannya dakwaan kosong seperti bisingnya lato-lato.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS