Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sedia kerjasama lagi dengan Mahathir
Diterbitkan:  Jun 2, 2023 11:58 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyambut baik kesediaan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk menjalinkan kerjasama demi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, situasi politik ketika ini meletakkan orang Melayu dan umat Islam dalam persimpangan getir.

"Saya menyambut baik kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

"Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

"Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, portal MalaysiaNow melaporkan Dr Mahathir memberi bayangan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Dr Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Katanya, orang Melayu yang berpecah mengikut perjuangan parti politik berbeza mengakibatkan kaum majoriti ini semakin lemah dan sukar untuk memperbetulkan keadaan.

"Kita nak ada kerjasama tapi matlamat mesti ditentukan. Kalau matlamat yang dijunjung, diutarakan oleh Anwar, saya tak boleh nak kerjasama dengan dia (Anwar). Pasal dia tak mempedulikan nasib orang Melayu. Bahkan, berkenaan dengan agama pun nampak pandangan dia bukanlah pandangan yang diterima oleh orang Melayu.

“Saya sedia bekerjasama dengan orang yang faham tentang masalah besar yang dihadapi oleh orang Melayu, yang tidak dihadapi oleh kaum lain," katanya dalam wawancara eksklusif bersama portal itu.

Untuk rekod Dr Mahathir pernah menjadi pengerusi Bersatu dan bersengketa dengan Muhyiddin apabila Ahli Parlimen Pagoh itu membawa keluar Bersatu daripada kerajaan PH melalui ‘Langkah Sheraton’.

Situasi itu menyebabkan kerajaan PH pimpinan Mahathir tumbang dan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-8 dengan kerjasama Umno dan PAS.

Bagaimanapun, Umno yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya memutuskan hubungan dengan Bersatu dan PAS.

Selepas pilihan raya umum lalu, Umno bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan diketuai Anwar.

Lihat Komen
ADS