Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat Dr M kerana 'aktiviti mudaratkan demokrasi berparlimen'

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali, yang menyifatkan soal siasat itu sebagai "intimidasi" terhadap Mahathir, berkata siasatan tertumpu kepada laporan yang dibuat mengenai 'Proklamasi Melayu' - kempen terbaru bekas ahli parlimen Langkawi itu.

“Kami dimaklumkan enam laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini terhadap Tun (Mahathir) dan Proklamasi Melayu.

“Membincangkan apa yang ada dalam perlembagaan, hak orang Melayu dilindungi dan diperuntukkan secara perlembagaan. Ia satu bentuk kebebasan bersuara, selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Ini hanyalah intimidasi polis terhadap Tun,” kata Rafique kepada Malaysiakini.

Rafique berkata dia menemani Mahathir ketika memberi keterangan kepada empat pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di Yayasan Albukhary sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Soal siasat tamat kira-kira jam 11.10 pagi, tambahnya.

Dalam kenyataan berasingan, setiausaha polis Noorsiah Saaduddin mengesahkan polis telah merekodkan kenyataan Mahathir pagi ini, tetapi bukan hanya mengenai Proklamasi Melayu.

"Siasatan dijalankan mengenai kenyataan Mahathir yang berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan Proklamasi Orang Melayu. Kes masih di peringkat siasatan,” katanya.

Rafique berkata Mahathir disoal mengenai video yang dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah majlis.

Dalam video itu, Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Mahathir juga mendakwa bahawa Raja-raja Melayu telah "menyerahkan negeri mereka", semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran "raja".

Terdahulu, Rafique berkata Mahathir memberikan kerjasama penuh dengan siasatan polis.

“Dia membuat pendiriannya dengan sangat jelas – dia akan menjawab mana-mana, jika ada, pertuduhan di mahkamah undang-undang. Dia sangat spesifik mengenainya,” katanya.

Proklamasi Melayu adalah inisiatif terbaru Mahathir yang bertujuan untuk “menyatukan dan menyelamatkan masyarakat Melayu”.

Mahathir berkata pengisytiharan itu adalah kempen kesedaran kepada orang Melayu untuk memaklumkan bahawa mereka telah "hilang kuasa".

Lihat Komen
ADS