Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Semua parti-parti serta gabungan sekutu yang menandatangani Proklamasi Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk bekerjasama, termasuk semasa pilihan raya.

Perkara itu diumumkan Mahathir selepas mesyuarat meja bulat dengan pemimpin politik dan wakil-wakil parti yang menyokong pergerakan itu hari ini.

Dia memberitahu sidang akhbar bahawa mereka telah memutuskan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada pilihan raya, dan sedang memikirkan untuk bekerjasama.

“Itu la tujuan kita hari ni dan kita semua setuju perlunya kita bergerak bersama. Kalau PRU pun kita gerak bersama la.

“Kalau tak ada kuasa pun tak boleh buat apa pun,” katanya.

Ditanya jika mereka akan bertanding pada pilihan raya negeri di enam negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi, Dr Mahathir berkata, perkara itu yang akan dibincangkan mereka.

“Ada kemungkinan kita akan bertanding dalam PRN, kalau kita dapat itu kehendak semua dari kita,” katanya.

Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelatan dan Terengganu - semakin menghampiri tarikh pembubaran masing-masing.

Ditanya jika bekas perdana menteri itu akan menyertai pilihan raya negeri akan datang, Mahathir secara sinis berkata tidak kerana mendakwa dirinya sudah "nyanyuk".

“Tak adalah. Saya dah tua. Tengok saya nyanyuk.

“Saya tak faham orang di luar negeri jemput saya bercakap tentang keadaan dunia akan datang, Jepun, Korea (Selatan) panggil saya.

“Balik sini orang tanya bila saya nak bersara,” katanya.

Hadir bersama pada sidang media itu adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris; Pengerusi Muafakat Nasional Annuar Musa; Pengerusi Pejuang, Mukhriz Mahathir; Presiden Putra, Ibrahim Ali; ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, dan bekas ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar serta bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Menurut Mahathir Proklamasi Melayu bukanlah bertujuan menolak hak kaum lain, sebaliknya untuk membantu masalah yang dihadapi oleh bangsa mereka.

Katanya, orang Melayu ketika ini berhadapan dengan banyak masalah terutama kemiskinan.

“Rata-rata mereka (orang Melayu) miskin dan kerana kemiskinan golongan berkenaan berhadapan dengan banyak masalah.

“Jadi usaha pertama yang kita lakukan adalah untuk mengeluarkan satu proklamasi yang menyenaraikan 12 daripada masalah yang dihadapi oleh orang Melayu,” katanya.

“Tujuan bukan rosak orang bukan Melayu, bukan sambar segala kekayaan Malaysia, tapi mahu lihat agihan kekayaan di negara ini dengan adil.

“Nak capai sama rata, tak boleh, tapi janganlah jarak kekayaan Melayu dengan Cina begitu jauh sehingga cetuskan perasaan marah Melayu terhadap kaum lain dan peristiwa seperti 13 Mei berlaku semula,” katanya.

Lihat Komen
ADS