PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan tidak mempunyai cadangan untuk menggubal undang-undang baharu bagi menangani ucapan kebencian kerana undang-undang sedia ada sudah memadai.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata undang-undang sekarang termasuk Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang masing-masing meliputi kenyataan berbaur hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Dia juga menyenaraikan enam seksyen Kanun Keseksaan yang juga boleh digunakan.
“Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak untuk mendapat perlindungan yang sama rata dan adil.
“Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan, diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit, tempat lahir atau jantina.
“Pada masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara. Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa, antara lain, di bawah akta-akta berkenaan,” katanya.
Justeru, katanya, kementerian itu berpendapat tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu pada masa ini.
Walau bagaimanapun, Aaron berkata, boleh menyemak semula undang-undang berkenaan jika perlu.
“Kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang sesetengah percakapan (hate speech) atau perbuatan provokasi yang boleh menggugat keharmonian, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.

Aaron berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada V Ganabatirau (Pakatan Harapan - Klang) yang ingin tahu jika kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang untuk menangani ucapan kebencian dan undang-undang anti perkauman demi untuk melindungi kumpulan minoriti.
Sebelum ini, ahli parlimen seperti Syerleena Abdul Rashid (PH - Bukit Bendera) dan Lee Chean Chung (PH - Petaling Jaya) telah mencadangkan undang-undang khusus untuk menangani ucapan kebencian susulan selepas berakhirnya pilihan raya umum November lalu.
Walaupun PH berikrar untuk "mengkaji semula atau memansuhkan" Akta Hasutan 1948, ia telah membisu mengenai perkembangan menunaikan janji-janji itu.
Bagaimanapun, ada tanda-tanda bahawa semakan semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sedang dijalankan.
