Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Speaker tolak usul bahas LCS atas alasan bukan kepentingan ramai'

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak usul tergempar untuk  membahaskan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) secara mendalam, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).

Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa surat yang diterimanya daripada pejabat speaker menyatakan usul itu ditolak atas alasan ia "bukan kepentingan orang ramai" dan “bukannya keperluan yang mendesak".

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Saya ingin mohon perkara ini dipertimbangkan semula, saya faham kalau ikut Peraturan Mesyuarat Parlimen, sesuatu keputusan (oleh speaker) tidak boleh dibangkit semula, cuma ada budi bicaranya, di mana jikalau tidak dibenar dibicarakan di sini, boleh dibawa ke kamar khas supaya isu ini dapat dijawab dengan lebih mendalam,” katanya.

Presiden Muda itu membangkitkan penolakan usul tersebut ketika Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menjawab soalan ahli-ahli Parlimen berhubung isu LCS.

Menurut Syed Saddiq, tempoh lima minit yang diperuntukkan untuk Adly menjelaskan isu LCS adalah tidak memadai memandangkan kerumitan perkara itu.

“Jika ini bukanlah perkara yang mendesak, tetapi kerap dibincangkan daripada  sebelum pilihan raya umum, semasa pilihan raya, malah selepas pilihan raya.

“Tidak ada pendakwaan tambahan, wang berbilion ringgit telah dibelanjakan, satu kapal pun belum sampai.

“Dan sekarang jumlah kapal pun telah dikurangkan. Saya berharap tuan speaker boleh pertimbangkan kerana jelas isu LCS ini adalah isu mendesak, isu rakyat, melibatkan berbilion ringgit duit rakyat, isu kedaulatan dan keselamatan negara," katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Adly ketika menjawab soalan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menjelaskan mengapa kerajaan memutuskan untuk membayar tambahan RM2.1 bilion bagi menyambung semula projek LCS yang tertangguh selama beberapa tahun.

Adly Zahari

Mengikut perjanjian tambahan baharu yang ditandatangani antara kerajaan dan pembuat kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bulan lepas, Putrajaya juga bersetuju supaya bilangan kapal dikurangkan daripada enam kepada lima.

Jumlah kontrak pada mulanya berjarga RM9 bilion untuk enam kapal.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan tempoh pembinaan dan perubahan spesifikasi antara faktor utama yang menyebabkan berlaku peningkatan kos dalam projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sehingga RM11.2 bilion.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata mengikut Kontrak Tambahan Keenam (SA6) yang ditandatangani baru-baru ini, ia memerlukan tambahan 83 bulan bagi tempoh pembinaan.

“Apabila kita bersetuju untuk meneruskan projek LCS ini, sudah pasti kita memerlukan tempoh. Kalau kita tengok perjanjian asal itu sepatutnya kapal LCS pertama itu dapat kita siapkan pada 2019 pembinaannya. Jadi, pertambahan 83 bulan itu memberikan beberapa kos.

“Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai garis waktu projek LCS dapat dimulakan semula dan sama ada ia dapat diselesaikan sebagaimana perancangan awal iaitu untuk ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada 2026.

Adly menjelaskan perubahan spesifikasi tersebut adalah satu keperluan pertahanan negara, manakala SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lepas merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja semula pembinaan LCS.

Katanya, berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung perjanjian tambahan itu, kapal LCS pertama dapat disiapkan pembinaannya pada November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian oleh pihak TLDM sendiri.

Justeru, beliau berkata kapal LCS pertama dijangka dapat  ditauliahkan kepada kegunaan TLDM pada akhir tahun 2026. 

SA6 adalah untuk mengubah kontrak, antara lain dengan terma dan syarat penting bahawa penyambungan semula semua aktiviti reka bentuk; pembinaan akan dimulakan selepas perjanjian itu ditandatangani; jumlah kapal dikurangkan daripada enam unit kepada lima unit dan harga kontrak disemak semula kepada RM11.2 bilion.

Perjanjian kontrak tambahan keenam yang dimeterai Boustead Holding Bhd (BHB) melalui anak syarikatnya, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan Kementerian Pertahanan itu turut memperincikan penyerahan projek dan tadbir urus dalam memulihkan projek LCS.

Selain itu, Adly berkata antara penambahbaikan telah dibuat dalam SA6, termasuk kerajaan boleh terus membayar kepada pengeluar peralatan tulen (OEM) melalui Kementerian Kewangan tanpa orang tengah.

Menurutnya bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan, empat jawatankuasa pemantau telah dibentuk iaitu Jawatankuasa Kerja di Peringkat Pasukan Projek; Jawatankuasa Teknikal LCS, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC).

Pada masa yang sama, katanya model pembayaran juga ditambah baik daripada ‘milestone payment’ kepada ‘progress payment’ melalui perjanjian tersebut iaitu pembayaran hanya dibuat apabila sesuatu perkhidmatan atau kerja disempurnakan.

Mengulas status terkini bagi penyelesaian perjanjian antarabangsa yang melibatkan syarikat Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), Adly memaklumkan bahawa transaksi tersebut tidak melibatkan kerajaan.

“Kerajaan tidak perlu menanggung sebarang pampasan kerana perjanjian itu merupakan urusan perniagaan syarikat dan di luar kontrak kerajaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS