Jabatan Imigresen mendedahkan sekumpulan warga asing menjadikan tanah seluas 1.6 hektar sebagai penempatan haram serta bercucuk tanam pelbagai jenis sayur-sayuran di Pulau Meranti, Puchong di Kuala Lumpuri.
Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata mereka juga membuat penempatan sementara dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat untuk mengumpul sayur-sayuran serta mempunyai pemborong yang membeli sayuran mereka.
Beliau berkata pemeriksaan imigresen juga mendapati penempatan mereka terdapat pelbagai kemudahan termasuk surau, sistem saluran dan perpaipan air yang lengkap untuk mengusahakan kebun, set generator untuk membekalkan sumber elektrik serta kolam takungan sumber air.

“Warga-warga asing berkenaan bercucuk tanam di bawah kawasan grid pencawang elektrik itu sejak puluhan tahun dan mereka ini dipercayai menyewa tanah daripada penduduk tempatan dengan sewaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, awal pagi tadi.
Berikutan itu, imigresen menahan 22 warga asing yang merupakan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di kawasan berkenaan dalam serbuan pada 1.30 pagi tadi.
Ruslin berkata daripada 22 warga asing yang ditahan mereka terdiri daripada 14 lelaki dan lapan wanita masing-masing berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
"Semasa pihak saya menyerbu ada dalam kalangan mereka melarikan diri ke dalam kawasan semak berhampiran dan sanggup menyorok selama setengah jam untuk mengelakkan diri daripada pihak berkuasa,’” katanya.

Beliau berkata imigresen juga akan membuat semakan dan rujukan kepada pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengenal pasti dan menentukan kesahihan dan status pemilik sebenar tanah serta premis berkenaan.
Menurutnya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar perundangan imigresen dengan memberi kebenaran kepada mana-mana imigran haram untuk masuk dan tinggal di tanah miliknya serta boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Imigresen akan melakukan operasi secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Ruslin berkata kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen Selangor untuk proses dokumentasi dan ia disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, seorang wanita warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 40, berkata dia menyewa penempatan haram berkenaan dengan bayaran sebanyak RM600 sebulan.
“Saya bersama suami bercucuk tanam sayur-sayuran dan hasilnya akan dijual di kawasan sekitar untuk menampung kos harian serta menghantar wang kepada keluarga saya di Indonesia.
“Sejak saya menetap di Malaysia, ini kali pertama saya ditahan dan saya tidak mengetahui apa-apa dan hanya membayar RM600 kepada tuan tanah,” katanya sambil menambah telah menetap di Malaysia selama 20 tahun.
- Bernama
