Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada rancangan pinda tempoh notis perhimpunan awam
Diterbitkan:  Jun 8, 2023 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

PARLIMEN | Putrajaya tidak berhasrat untuk meminda Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mengurangkan tempoh pemberitahuan polis yang diwajibkan sebelum perhimpunan awam, yang kini memerlukan lima hari.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya tidak berhasrat berbuat demikian kerana Seksyen 9 telah pun dipinda pada 2019, mengurangkan tempoh pemberitahuan kepada lima hari, turun daripada 10 hari apabila undang-undang itu pada asalnya digubal.

Saifuddin turut mempertahankan Seksyen 14 undang-undang sama, yang memberi tempoh tiga hari kepada polis untuk menjawab notis itu kerana masa itu diperlukan untuk polis memenuhi banyak keperluan di bawah undang-undang itu.

Ini termasuk mengeluarkan pemberitahuan awam, menerima bantahan dan menyediakan logistik. Dia berkata tempoh itu juga perlu untuk penganjur memfailkan rayuan kepada menteri sekiranya terdapat rungutan terhadap syarat ditetapkan polis.

Jelasnya, proses ini perlu bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan melindungi kepentingan orang lain yang tidak terlibat dalam perhimpunan.

"Oleh yang demikian, untuk mengurangkan tempoh ini kepada 24 jam sahaja dan pada masa yang sama masih memberikan ruang kepada semua pihak untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam, termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain terpelihara adalah kurang munasabah," katanya.

Saifuddin menjawab soalan Chow Yu Hui (Pakatan Harapan - Raub) yang bertanya sama ada kerajaan akan meminda Seksyen 9 dan mengurangkan tempoh notis kepada 24 jam bagi meningkatkan hak orang ramai untuk berhimpun.

Untuk rekod, tiada parti atau gabungan dalam kerajaan persekutuan berjanji untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS