Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gunung Berapi Mayon Filipina meletus secara senyap
Diterbitkan:  Jun 8, 2023 4:59 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

GLOBAL l Gunung Berapi Mayon Filipina di wilayah Albay, kira-kira 500 kilometer (km) di tenggara Manila sedang "meletus secara senyap", menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada Khamis, lapor Xinhua.

Institut itu memberi amaran mengenai "potensi aktiviti letupan dalam tempoh beberapa minggu atau beberapa hari" dari gunung berapi paling aktif itu yang terletak di kawasan paling selatan di pulau Luzon, sekali gus meningkatkan amaran ke atas gunung berapi setinggi 2,460 meter itu ke tahap tiga dalam sistem amaran lima peringkat.

"Parameter pemantauan keseluruhan menunjukkan penyemperitan magma pengeluaran gas cetek yang sangat perlahan sedang bergerak pada kadar meningkat secara berperingkat yang menunjukkan letusan magmatik efusi sedang berlaku.

"Ini bermakna Mayon mempamerkan letusan magmatik kubah lava puncak, dengan peningkatan peluang aliran lava dan arus ketumpatan piroklastik berbahaya yang menjejaskan cerun atas hingga tengah gunung berapi dan potensi aktiviti letupan dalam beberapa minggu atau beberapa hari," menurut institut itu dalam buletinnya.

Institut itu menaikkan amaran baharu empat hari selepas ia memberi amaran pada Isnin mengenai "aktiviti gunung berapi itu yang semakin meningkat" yang boleh membawa kepada letusan freatik atau magmatik.

Institut itu menasihatkan penduduk di zon bahaya dalam radius enam km supaya berpindah "disebabkan bahaya arus ketumpatan piroklastik, aliran lava, batu jatuh dan bahaya gunung berapi yang lain".

Institut itu menggesa pihak berkuasa penerbangan awam menasihatkan juruterbang supaya mengelak daripada terbang menghampiri puncak gunung berapi kerana abu daripada sebarang letusan mengejut boleh berbahaya kepada pesawat.

Mayon, destinasi pelancongan popular kerana bentuk konnya, merupakan gunung berapi paling aktif di negara ini, meletus lebih 50 kali dalam tempoh 400 tahun yang lalu.

- Bernama-Xinhua

Lihat Komen
ADS