Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin akan bertemu wakil kelab wartawan Pulau Pinang esok untuk menjelaskan dakwaan larangan terhadap media untuk menghubunginya bagi mendapatkan komen.
Khaw berkata dia percaya wujud salah faham antara Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dan polis negeri, dan berharap dapat menjernihkan suasana semasa sesi "ramah mesra".
“Esok ada kunjungan hormat dari presiden Kelab Media Mutiara dan rombongan ke pejabat saya. Saya percaya ini adalah silap faham dan esok saya akan terangkan keadaan sebenar,” katanya dalam mesej teks.
Malaysiakini menghubungi Khaw untuk mendapatkan ulasannya terhadap kenyataan kelab media itu semalam, yang mengkritik unit perhubungan awam polis Pulau Pinang kerana dikatakan menghalang mereka daripada menghubungi Khaw secara langsung.
Menyifatkan ia sebagai langkah yang menyekat kebebasan media, kelab itu mendakwa bahawa seorang pegawai dari unit itu telah menyifatkan wartawan sebagai tidak beretika kerana "curi-curi" mendapatkan komen terus daripada Khaw.
Khaw memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pernah menghalang media menghubunginya.
"Saya tidak pernah menghalang wartawan menghubungi saya. Cuma kadang-kadang apabila saya sibuk, saya mungkin tidak dapat menjawabnya," tambahnya.
Khaw menjadi tumpuan media baru-baru ini selepas didedahkan bahawa dia menerima ugutan berikutan tindakan keras terhadap aktiviti ceti haram di negeri itu.
Ugutan itu dalam bentuk surat yang ditujukan kepada ketua polis yang mengandungi "duit mayat" dan amaran untuk menghentikan operasi terhadap peminjam wang tidak berlesen.
