Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia akan hancur jika kerajaan gagal bawa perubahan, kata Anwar
Diterbitkan:  Jun 8, 2023 9:59 PM
Dikemaskini: 1:59 PM

Malaysia akan "hancur" jika kerajaan gagal mengambil langkah untuk membawa perubahan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara dengan program 101 East Al-Jazeera English, Anwar berkata parti-parti dalam kerajaan perpaduan juga sepakat mengatakan negara ini memerlukan reformasi yang mendesak.

"Adakah mereka (parti dalam kerajaan perpaduan) bersetuju bahawa masalah utama adalah isu tadbir urus yang baik? Ya (mereka setuju).

"Adakah mereka setuju bahawa rasuah telah menjadi wabak di negara ini? Ya.

"Saya maksudkan itu adalah yang paling penting dan kemudian tentu saja, kita menyesuaikan dasar-dasar. Saya bukan diktator. Saya adalah seorang perdana menteri dalam sebuah negara demokratik," katanya apabila ditanya sama ada dia masih mampu melaksanakan reformasi yang dijanjikan sedangkan kini bergantung kepada kerjasama pelbagai parti untuk terus berkuasa.

Dalam dokumentari berjudul "From Prison to Prime Minister: Malaysia's Anwar Ibrahim", Anwar juga mengakui dia berasa sukar untuk mempercayai orang lain selepas pengkhianatan dan kegagalan kerjasama pada masa lalu.

"Tetapi manusia berubah. Kita buat kesilapan di masa lalu tetapi kita diberikan peluang,” katanya.

Kini setelah memegang jawatan tertinggi di negara ini dan meninggalkan status sebagai pemimpin pembangkang, Anwar menegaskan dia harus melaksanakan tugasnya.

"Ia memerlukan banyak kesabaran dan lebih banyak toleransi terhadap kritikan.

"(Apabila) sebagai pemimpin pembangkang, kamu merasa tiada halangan. Kamu rasa boleh menyuarakannya," katanya.

Menghabiskan sepanjang hayatnya untuk melawan rasuah, Anwar berkata dia kini dapat memastikan bahawa agensi-agensi anti-rasuah "lebih berkesan dan lebih berazam untuk bertindak menentang rasuah".

Sebelum ini, pelantikan Azam Baki sebagai ketua Pesuruhjaya SPRM oleh perdana menteri itu mendapat kritikan dengan pelbagai pihak Anwar menjelaskan kewajaran berbuat demikian.

Azam mencetuskan kontroversi setelah pemberi maklumat, K Lalitha mendedahkan mengenai skandal pemilikan saham yang dikaitkan dengan dirinya.

Isu itu menimbulkan persoalan sama ada pemilikan saham itu sepadan dengan pendapatannya sebagai seorang penjawat awam atau sebaliknya, dan apakah berlaku konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham-saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya dengan menggunakan namanya.

Lihat Komen
ADS