Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNS sedia beri laporan kemajuan LCS setiap 3 bulan
Diterbitkan:  Jun 10, 2023 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Syarikat pembina kapal Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) akan menyediakan laporan kemajuan projek kapal tempur pesisir (LCS) kepada kerajaan setiap tiga bulan.

BNS juga akan bekerjasama dengan jawatankuasa pemantauan projek yang dipengerusikan bersama ketua setiausaha perbendaharaan dan ketua setiausaha kementerian pertahanan untuk meningkatkan tadbir urus.

“BNS memuji kerajaan Malaysia kerana mengambil langkah tegas dalam meneruskan projek LCS yang mencerminkan komitmen teguhnya terhadap peningkatan keupayaan pertahanan negara.

“Projek LCS bukan sahaja penting untuk keselamatan sempadan maritim kita tetapi juga pertumbuhan ekonomi maritim kita.

“Dengan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan nasional projek ini, BNS akan menumpukan segala usahanya ke arah menyediakan kapal pertama untuk ujian penerimaan laut menjelang 2024,” kata pengerusi BNS Nazim Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Dia juga turut mengalu-alukan lawatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke pangkalan tentera laut di Lumut, Perak untuk menyemak perkembangan semasa projek LCS.

Di bawah perjanjian tambahan baru yang dimeterai antara kerajaan dan BNS bulan lepas, Putrajaya telah bersetuju supaya bilangan kapal dikurangkan kepada lima daripada enam buah kapal.

Kontrak itu pada mulanya bernilai RM9 bilion untuk perolehan enam buah kapal.

Projek LCS bermula pada 2013, namun selepas RM6 bilion dibelanjakan, BNS gagal untuk menghantar kapal pertamanya pada 2019.

Sehingga tahun lepas, pembinaan kapal keenam masih belum dimulakan dan tiada satu pun kapal telah mencapai kemajuan melebihi 50 peratus.

Siasatan PAC mengenai perkara itu mendapati cadangan tentera laut untuk projek itu telah diabaikan oleh kerajaan dan kajian daya maju (due diligence) gagal mengesan masalah kewangan BNS.

Selepas kemarahan orang ramai terhadap skandal LCS, PAC meneruskan pemantauannya terhadap projek itu.

Lihat Komen
ADS