Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Johor: Kerajaan Perpaduan dibentuk atas kerjasama rapuh
Diterbitkan:  Jun 10, 2023 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Umno Johor menyifatkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan adalah satu kesepakatan yang rapuh.

Jurucakap Umno Johor yang juga ketua pemudanya, Noor Azleen Ambros berkata, Kerajaan Perpaduan pada hari ini didirikan atas persefahaman parti-parti politik demi menyelamatkan negara, bukan kerana keserasiannya.

"Kerajaan Perpaduan yang didirikan ini juga adalah satu koalisi rapuh. Masing-masing masih tercari-cari titik-titik persamaan serta saling faham memahami.

"Ia lahir kerana tidak ada pilihan lain yang terbaik bagi kita. Melainkan untuk bekerjasama, dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai yang paling utama.

"Namun, Umno Johor menegaskan bahawa ia bukan suatu pakatan yang didasari oleh keserasian nilai, agenda serta wawasan kenegaraan," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2023, di Kuala Lumpur, hari ini.

Umno membentuk kerjasama dengan PH apabila BN sekadar memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Keputusan PRU15 itu menyaksikan tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

BN ketika itu menjadi penentu kepada PH untuk mendapat sokongan mudah bagi membentuk kerajaan, dengan Presiden PKR akhirnya dilantik sebagai perdana menteri.

‘Tiada tawar menawar perkara berkaitan Melayu Islam’

Dalam pada itu, Azleen berkata, harus diakui bahawa lumrah percaturan kuasa dan realiti politik bersifat dinamik, anjal dan sentiasa berubah.

Katanya, Umno mesti pragmatik dalam pendekatan dan strategi politiknya, namun tiada tawar menawar dalam perkara berkait asas perjuangannya.

"Akan tetapi, Umno Johor ingin sekali lagi tegaskan bahawa tidak ada tawar-menawar dalam perkara berkaitan kedudukan, kepentingan dan kemajuan orang Melayu dan Islam, serta lain-lain perkara yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Selain daripada itu, dalam kerjasama yang masih berada di fasa bunga yang masih belum berputik ini, Umno tidak sekali-kali wajar menjadi jurucakap kepada parti lain. Begitu juga sebaliknya. Tidak ada parti lain yang berhak menjadi jurucakap bagi pihak Umno.

Tegasnya adalah menjadi prinsip dan pegangan nilai politik Umno yang tidak sesekali berganjak daripada terus membela orang Melayu.

"Walau terpaksa berkongsi kuasa dengan rakan-rakan politik baru, prinsip politik serta nilai-nilai perjuangan Umno (DNA Umno– nasionalisme Melayu dan Islam) mesti terus mendasari perjuangan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS