BPR mulakan siasatan terhadap Taib Mahmud
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatannya terhadap laporan media yang mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya terbabit dalam skandal rasuah RM32 juta yang dibayar oleh firma-firma perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak ke Jepun.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatannya terhadap laporan media yang mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya terbabit dalam skandal rasuah RM32 juta yang dibayar oleh firma-firma perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak ke Jepun.
Ini dinyatakan oleh pegawai kanan BPR Sarawak, Supt Roslan Rambli petang tadi sewaktu delegasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri mengunjungi pejabat BPR Sarawak di Kuching untuk mengetahui status siasatan terhadap laporan yang dibuatnya pada 13 April lalu.
Ia dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta laporan rasmi dibuat bagi membolehkan BPR dapat mengambil tindakan.
Delegasi PKR itu diketuai oleh Pengerusi PKR negeri, Wan Zainal Abidin Wan Senusi dan turut disertai Timbalannya, Baharuddin Mokhsen dan Penasihat Undang-undang PKR negeri, See Chee How.
Pengarah BPR Sarawak, Mohd Yusoff Akope tidak hadir dalam pertemuan tersebut, tetapi menurut Wan Zainal, beliau telah mengesahkan akan menemui mereka pada jam 3.30 petang 9 Mei ini untuk membincang status terkini kes tersebut.
Laporan mengenai skandal rasuah itu mula disiarkan oleh akhbar Japan Times pada 29 Mac. Ia kemudiannya disiarkan oleh akhbar Asashi Shimbun dan International Herald Tribune edisi Japan serta dipetik oleh malaysiakin i.
Ia turut dilaporkan oleh beberapa akhbar vernakular di Malaysia.
Tindakan undang-undang
Taib kemudiannya memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap malaysiakini kecuali ia menarik balik laporan tersebut serta memohon maaf. Malaysiakini bagaimanapun menolak tuntutan Ketua Menteri Sarawak itu.
Semalam, sewaktu berucap dalam perjumpaan dengan penyokong kerajaan di Sarawak, Taib berkata, beliau akan menggunakan saluran perundangan untuk menangkis serangan yang memburukkan namanya.
Dalam satu kenyataan selepas mengunjungi pejabat BPR, Wan Zainal berkata, kunjungan itu adalah susulan kepada laporan yang dibuat parti itu kepada BPR pada 13 April lalu.
Katanya, penafian Taib tidak menerima wang daripada Regent Star in Hong tidak membantu membersihkan namanya yang telah tercemar.
"Kami rasa satu-satu jalan untuk beliau 'membersihkan' namanya dan rakyat Sarawak ialah dengan sukarela bersetuju untuk disiasat oleh BPR," katanya.
"Hanya penyiasatan yang dapat mendedahkan kebenaran di sebalik dakwaan skandal tersebut," tambahnya. Berita asal

