Malaysia diletakkan sebagai negara kedua paling teruk dalam isu berkaitan hak-hak golongan transgender.
Indeks Hak Transgender Sedunia meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terburuk selepas Guyana.
Kedudukan ini lebih buruk daripada Arab Saudi, Malawi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di kedudukan ketiga hingga kelima.
Indeks kelolaan pasangan pengkaji Asher dan Lyric Fergusson itu dijalankan dengan memberi atau memotong markah berdasarkan perlindungan untuk pekerja LGBTQ+, undang-undang antidiskriminasi, penjenayahan keganasan berasaskan kebencian, undang-undang identiti transgender dan kadar kes pembunuhan transgender.
Perkara itu berdasarkan laporan Persatuan Interseks, Trans, Biseksual, Gay dan Lesbian Antarabangsa (ILGA), Human Rights Watch (HRW) dan kajian "Transrespect versus Transphobia Worldwide" oleh organisasi Transgender Europe.
Semua aspek diberi mata yang sama, kecuali kadar pembunuhan trans dan undang-undang identiti diberi angka berganda.
Menggunakan sistem mata ini, Malaysia diberi markah -105 dan penarafan bahaya terendah, iaitu F.
Guyana disenaraikan sebagai negara yang paling teruk bagi golongan trans kerana terdapat pembunuhan melibatkan golongan tersebut dengan kadar yang tinggi.
Menurut kajian itu, lima negara paling buruk ini tidak mempunyai perlindungan terhadap pekerja transgender.
Malah pemakaian pakaian berbeza jantina di lapan daripada 10 negara terburuk boleh dikenakan hukuman dan dipenjara.
Rumusan berkaitan Malaysia menyebut golongan trans di negara ini menjadi sasaran polis.
Lima negara terbaik di dunia untuk komuniti transgender ialah Malta, Portugal, Kanada, Sweden dan Bolivia.
Negara jiran Malaysia berada di kedudukan lebih baik dengan Thailand berada di kedudukan ke-66, Singapura (109), Indonesia (115) dan Brunei (192).
