Jika semalam PAS Kelantan menyatakan mereka sedang bersedia membalas balik serangan musuh politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, hari ini sebuah lagi negeri turut menegaskan perkara sama.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PAS negeri belum bercadang menyerang balas buat masa ini.
Pun begitu, dia yang juga naib presiden PAS dipetik sebagai berkata, jentera parti sedang mengatur strategi dan menunggu detik yang sesuai sebelum memulakan langkah menyerang.
Katanya tindakan itu diambil bagi memastikan PAS menang bergaya di Terengganu sekali lagi.
"Masa nak peranglah baru kita keluarkan 'peluru'... adalah strateginya nanti," katanya yang dipetik Sinar Online hari ini.
Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah memberitahu media PAS negeri itu sedang bersedia untuk menyerang balas lawan mereka.
"Bukan tiada serangan balas tetapi masanya belum sampai. DUN belum bubar. Wisel belum ditiup macam mana nak berlari?
"Tunggu pengadil sudah tiup wisel nanti, masa itu keluarlah buah-buah kita,” katanya dipetik Utusan Online.
Dalam PRU yang diadakan pada 2018, PAS menang besar di kedua-dua negeri.
Pengerusi BN negeri
Di Kelantan 37 daripada 45 kerusi DUN negeri itu dikuasai PAS manakala bakinya Umno-BN. Ia membolehkan PAS kekal mentadbir Kelantan selepas menawan negeri itu pada 1990.
Untuk DUN Terengganu pula PAS negeri memenangi 22 kerusi manakala Umno-BN menguasai baki 10 kerusi lagi. Ia menyaksikan PAS kembali menjadi kerajaan selepas semula selepas kira-kira 14 tahun.

Kali terakhir PAS menjadi kerajaan di Terengganu ialah melalui PRU ke-10 (1999) dan menyaksikan Abdul Hadi Awang menjadi menteri besar. Bagaimanapun kerajaan PAS itu hanya bertahan selama sepenggal dan kembali kepada Umno-BN pada 2004.
Semasa menghadapi PRU ke-14, PAS bertanding sendirian dan berdepan dengan cabaran tiga penjuru membabitkan Umno-BN dan PH.
Ketika ini serangan paling menonjol dihadapi kerajaan Terengganu berdepan ialah daripada Umno-BN dengan diketuai bekas menteri besar Ahmad Said.
Ahmad merupakan pengerusi BN negeri itu.
Baru-baru ini dia mencabar Ahmad Samsuri untuk berdebat mengenai isu penjualan tanah kerajaan kepada sebuah NGO yang berkaitan dengan PAS. Bagaimanapun Ahmad Samsuri menolak tawaran tersebut.
Ahmad Samsuri berkata PAS memang mempunyai banyak 'peluru' yang sedang disimpan bagi menangkis serangan lawan.
"Banyak lagi simpan dalam poket ni. Semua peluru tu 'buah' akhir," katanya yang dipetik di Kuala Terengganu hari ini.
