Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas putih: KKM cadang bayaran perkhidmatan golongan kaya dinaikkan

Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kepada parlimen supaya bayaran perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dinaikkan untuk golongan kaya.

Langkah itu bertujuan menjadikan isi rumah berpendapatan tinggi membayar perkhidmatan itu mengikut kemampuan kewangan mereka, menurut Kertas Putih Kesihatan (HWP) yang pada mulanya dijadualkan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini.

Menurut KKM, walaupun bayaran minimum yang dikenakan oleh kerajaan membolehkan orang ramai mendapat akses yang berpatutan dan lebih baik kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, struktur bayaran ketika ini membawa kepada jurang yang besar berbanding kos yang ditanggung.

"Struktur fi yang sama untuk semua telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.

"Untuk menambah baik kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan awam, kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan.

"Meskipun demikian, jaringan keselamatan (safety net) isi rumah berpendapatan rendah akan dikekalkan," katanya.

Mekanisme baru

Menurut kertas putih itu, MOH akan mencadangkan agar semakan struktur bayaran dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pertama bagi rancangan 15 tahunnya.

Pada masa ini, warganegara Malaysia yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan hanya perlu membayar RM1 untuk rawatan pesakit luar dan RM5 untuk rawatan pesakit luar pakar.

Menurut laman web KKM, rakyat yang menerima rawatan pesakit dalam di wad hospital Kelas Pertama dikenakan bayaran RM10 sehari, manakala bagi wad kelas dua, RM5. Tiada caj dikenakan untuk rakyat Malaysia yang dimasukkan ke wad Kelas Ketiga.

Bagi perkhidmatan bersalin (kelahiran normal), warganegara dikenakan bayaran RM300, RM150 dan RM10 masing-masing untuk wad Kelas Pertama, Kedua dan Ketiga.

Mengenai perkara berkaitan, kementerian juga bercadang untuk mencadangkan mekanisme baru bagi pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menurut kertas putih itu, bergantung kepada kerajaan sebagai sumber kewangan tunggal bukanlah cara yang mampan terutamanya disebabkan peningkatan permintaan yang disebabkan oleh perubahan demografi di negara ini.

"Satu bentuk kompak sosial akan dicadangkan agar pelaburan untuk kesihatan menjadi tanggungjawab bersama. Mekanisme skim caruman progresif akan diteliti, dibahas dan dibentangkan di Parlimen untuk sokongan dwipartisan," katanya.

Dokumen itu, bagaimanapun, tidak memberikan banyak butiran mengenai bentuk mekanisme yang dikatakan.

Rancangan jangka panjang

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjangnya, KKM akan mencadangkan penstrukturan semula fungsi hospital.

Sasaran utama langkah ini adalah untuk meringankan beban hospital kerajaan dengan memindahkan sebahagian perkhidmatannya ke pusat kesihatan primer (PHC) seperti klinik komuniti.

Ini supaya kecekapan dan prestasi hospital dapat ditingkatkan dan ditumpukan kepada kes akut dan penyakit kompleks.

"Ambulatory care-sensitive conditions seperti jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan, diarea dan penyakit lelah yang lebih sesuai diurus pada peringkat PHC dan komuniti akan dipindahkan secara berperingkat daripada hospital ke PHC.

"Penjagaan jangka panjang, contohnya untuk warga emas atau pengurusan penyakit NCD dengan komplikasi juga secara progresif akan dikendalikan di luar fasiliti hospital secara kolaboratif dengan penyedia perkhidmatan penjagaan sosial, pemulihan atau paliatif, termasuk dalam komuniti," kata dokumen itu.

Menurut kertas putih itu, KKM juga akan melancarkan inisiatif Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Rekod Kesihatan Hayat (ELHR) secara berperingkat.

Rekod ini, katanya, akan mengandungi status kesihatan individu, sejarah perubatan dan maklumat lain yang berkaitan, dan boleh diakses oleh individu tersebut.

"Rakyat akan diberi hak untuk memegang data peribadi masing-masing dan boleh memberi akses data kesihatan mereka kepada penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan Kerajaan bila diperlukan, sekali gus memastikan privasi dan kerahsiaan data kesihatan peribadi.

"EMR dan ELHR bukan sahaja akan digunakan sebagai repositori data sejarah perubatan Rakyat, malah kedua-dua rekod ini juga akan digunakan bagi membangunkan pelan penjagaan kesihatan peribadi secara pintar untuk masa hadapan," katanya.

Lihat Komen
ADS