Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tasik Chini kekal status Tapak Rizab Biosfera - Nik Nazmi
Diterbitkan:  Jun 15, 2023 8:37 AM
Dikemaskini: 6:42 AM

Walaupun sedang dipulihkan daripada kesan perlombongan dan kebimbangan terhadap rancangan mewujudkan ladang berhampiran, sebuah jawatankuasa di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) memutuskan untuk mengekalkan status Tasik Chini sebagai Tapak Rizab Biosfera.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat The 35th Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) di Paris.

Mesyuarat itu mendapati semakan berkala terhadap Rizab Biosfera Tasik Chini menepati kriteria yang diperlukan, selepas mengambil kira usaha kerajaan negeri Pahang untuk menambah baik pengurusan tapak tersebut.

Ini termasuk mengemaskini pengezonan bagi mengekalkan fungsi Tapak Rizab Biosfera berkenaan, mewartakan Hutan Simpan Kekal Chini, menubuhkan Perbadanan Taman

Negeri Pahang dan melaksanakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan.

“Keputusan ICC MAB35 ini adalah sangat bermakna kepada negara dan negeri Pahang dalam mengekalkan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini.

“Syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas pengiktirafan ini dan diharapkan agar pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini terus ditambah baik,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sementara itu perkara itu dikongsi menteri besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.

Menurutnya, kerajaan Pahang melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengemukakan laporan berkala selepas 10 tahun pengiktirafan diterima untuk penilaian semula oleh sekretariat UNESCO.

Wakil daripada NRECC, kerajaan Pahang dan pejabat delegasi tetap Malaysia ke UNESCO hadir pada mesyuarat berkenaan.

Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Pahang sentiasa komited dalam usaha mengekalkan status Tasik Chini sebagai tapak biosfera di bawah program Man and the Biosphere.

Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada 2009 dan di Malaysia terdapat dua lagi tapak rizab biosfera iaitu Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada 2014 dan 2021.

Ia juga diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada 2019.

Tasik Chini - pernah terkenal dengan bunga teratai dan legenda naga - merupakan yang pertama daripada tiga rizab biosfera Unesco di negara ini.

Sungguhpun begitu, air di tasik tersebut telah tercemar akibat operasi perlombongan dan pembalakan di kawasan sekitar.

Tahun lepas, Malaysiakini mendapati laporan awal yang disediakan untuk semakan berkala ICCMAB mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi rizab biosfera kerana kemerosotan alam sekitar kawasan itu.

Pihak berkuasa Malaysia diberitahu untuk mengemukakan pelan terperinci untuk rizab itu kepada badan antarabangsa itu, termasuk pelan pengezonan yang dikemas kini untuk kawasan itu dan bagaimana kerajaan berhasrat untuk menguruskannya.

Kemusnahan alam sekitar kawasan itu juga telah memberi kesan buruk kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu, yang bergantung kepada tasik untuk mendapatkan sumber air dan ikan, dan hasil perhutanan seperti rotan dan damar.

Mereka sebaliknya bergantung kepada lori tangki air untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Pada Mei lalu, Malaysiakini melaporkan penduduk tempatan dan aktivis menyatakan kebimbangan terhadap kehadiran jentera berat di lombong berhampiran walaupun ia

telah berhenti beroperasi, dan rancangan untuk menukar enam bidang tanah di kawasan itu kepada ladang hutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS