Hanya wakil rakyat yang memegang jawatan sebagai yang dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dibenarkan masuk ke sekolah bagi menghadiri mesyuarat agung yang diadakan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata jika sekolah ingin mengundang wakil rakyat bagi tujuan lain, permohonan mesti dibuat terlebih dulu.
"Yang berhormat pengerusi, Yang Dipertua PIBG. Memang ada mesyuarat agung tahunan kena masuk ke sekolah.
"Tak ada masalah untuk hadir mesyuarat agung PIBG. Kecuali untuk tujuan lain sekolah kena kemuka permohonan," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Roslan Hashim (PN- Kulim Bandar Baharu) yang membangkitkan persoalan sama ahli parlimen yang dipilih sebagai yang dipertua PIBG boleh hadir ke sekolah.
Roslan mendakwa dia juga seorang yang dipertua PIBG tidak dibenarkan hadir untuk mempengerusi mesyuarat PIBG selepas menjadi wakil rakyat.
Dalam pada itu Lim turut menjelaskan mengenai kekeliruan berhubung angka 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu seperti yang disebut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Angka itu menjadi pertikaian apabila bekas menteri pendidikan Radzi Jidin memetik laporan Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa 14, 858 tidak menduduki SPM, bukannya 30,000.
Lim menjelaskan bahawa angka yang disebut perdana menteri, hampir 30,000 pelajar tidak menduduki SPM itu adalah daripada jumlah lebih 403,000 pelajar yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun lalu secara keseluruhannya.
Malaysiakini difahamkan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM hampir 30,000 dengan mengambil kira lebih 14,000 tidak menduduki langsung peperiksaan itu, manakala lebih 14,000 lagi hadir menduduki peperiksaan bagi satu ataupun dua mata pelajaran saja.
Apabila dicampur angka berkenaan, secara keseluruhannya, hampir 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM tahun 2022.
Semalam pada sidang media di Parlimen, Radzi mempersoalkan angka disebut Anwar semasa perdana menteri tu mendakwa ada 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM sebelum ini.
Sebaliknya kata Radzi, Kementerian KPM sebelum ini mendedahkan hanya terdapat 14,858 pelajar tidak mengambil peperiksaan itu.
