Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengeluarkan surat arahan pembatalan program berkaitan konsert di semua universiti awam di negara ini.
Menurut KMUM, berdasarkan arahan itu, semua program konsert di universiti awam yang tidak melalui proses penilaian risiko aksi luar jangka perlu dibatalkan serta merta, manakala yang telah melalui proses tersebut perlu dihantar semula untuk dinilai sekali lagi.
"Kami percaya penilaian berlebihan seperti ini adalah tidak munasabah dan akan melambatkan proses untuk menganjurkan program tersebut. Kami dengan tegas menolak birokrasi yang berlebihan dalam pengurusan universiti awam.
"Pengeluaran surat arahan secara mendadak ini akan mengakibatkan status program-program yang berunsurkan konsert tergantung dan berkemungkinan boleh dibatalkan.
"Kesatuan Mahasiswa mahu mengutarakan satu soalan kepada pihak KPT - Siapa yang akan bertanggungjawab atas kerugian masa dan kos yang telah dibelanjakan untuk program ini jika arahan ini diikuti?" soalnya dalam satu kenyaatan.
Menurut surat yang dikeluarkan kepada universiti awam semalam, Ketua Pengarah KPT Azlinda Azman berkata arahan itu dikeluarkan berikutan beberapa "insiden di luar dijangka" semasa aktiviti di kampus.
Bagaimanapun, katanya, penganjur konsert yang telah melepasi penilaian risiko luar jangka oleh pihak universiti masih perlu memaklumkan kepada KPT pada masa hadapan.
Baru-baru ini, kerajaan Terengganu dilapor menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan aksi lelaki dan wanita dalam sebuah konsert di sebuah universiti tempatan yang dikatakan bercanggah dengan garis panduan syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia dianjurkan sebuah institusi pendidikan tinggi.
Bagaimanaun KMUM berkata insiden yang berlaku di Terengganu itu tidak mencerminkan dasar universiti awam lain dan justeru KPT tidak sepatutnya mengeluarkan arahan menyeluruh kepada semua universiti awam.
Kesatuan itu juga berkata surat arahan tersebut secara jelas telah menghalang kebebasan mahasiswa untuk bersuara seperti dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah pembentukan Kesatuan Mahasiswa di seluruh universiti awam, mahasiswa harus diberi autonomi untuk menganjurkan acara di dalam universiti tanpa campur tangan kerajaan.
"Kami juga ingin menekankan bahawa kerajaan secara jelas tidak mengotakan janji mereka dalam memberikan lebih banyak kebebasan dan keistimewaan kepada mahasiswa di universiti," katanya.
