Sekumpulan pertubuhan dan individu yang menyokong pembaharuan undang-undang mengenai kewarganegaraan menggesa kerajaan lebih telus dan inklusif dalam usaha meminda Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta jadual berkaitannya.
Menurut surat terbuka yang diperakui 49 pertubuhan dan 67 individu, mereka mengalu-alukan usaha kerajaan menangani isu-isu sejak sekian lama berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.
Pindaan berkenaan secara khusus adalah bagi memasukkan perkataan "ibu" dalam Seksyen (1)(b) dan (1)(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung 'Kewarganegaraan melalui Kuat Kuasa Undang-undang'.
“Bagaimanapun, sebarang permohonan memasukkan pindaan lanjut kepada hak kewarganegaraan di bawah Perlembagaan untuk menangani isu berkaitan kewarganegaraan yang lain tidak seharusnya dipertimbangkan tanpa terlebih dahulu melakukan rundingan menyeluruh dan meluas dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan,” kata mereka.
Mereka mengenal pasti isu-isu berkaitan termasuk usaha menyekat hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah yang berbapakan warganegara Malaysia; anak angkat oleh ibu bapa Malaysia; kanak-kanak yang terbiar dan diabaikan; serta kanak-kanak daripada daripada keluarga yang tidak mempunyai dokumen sah.
"Perlu diingatkan bahawa kita telah, pada kebanyakan masa, menerima mesej bercampur-campur daripada kerajaan tentang skop pindaan yang mereka ingin cadangkan dan sama ada pindaan ini meliputi isu-isu yang dipertikaikan yang disenaraikan di atas.
"Tidak perlu dikatakan bahawa sebarang cadangan untuk menyekat atau membatalkan kebebasan dan hak asasi, termasuk hak kewarganegaraan, tidak sepatutnya dilakukan dalam kerahsiaan dan tanpa rundingan yang sewajarnya," kata mereka.

“Walaupun difahamkan perbincangan awal telah diadakan dengan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, nampaknya mereka tidak dimaklumkan mengenai keseluruhan cadangan kerajaan untuk meminda hak kewarganegaraan ini.
"Kami kecewa dengan kurangnya kejelasan dan ketelusan ini, memandangkan terdapat jaminan penglibatan terbuka oleh kerajaan baru ini," kata mereka lagi.
Dalam surat terbuka itu, pertubuhan dan individu terbabit menegaskan bahawa tiada mana-mana kerajaan harus menawarkan untuk membuat pindaan tersebut hanya sebagai pertukaran untuk menyekat atau menghalang hak kewarganegaraan dan hak-hak kumpulan lain.
[Baca berita penuh]
